My Add

Tuesday 28 August 2012

Supritendan polis didenda RM1.75j, penjara 2 tahun

JOHOR BAHRU, ISNIN, 27 Ogos, 2012: Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan dihukum penjara dua tahun dan denda RM1.75 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah kira-kira RM3.8 juta antara 2002 dan 2005.

Hakim Salawati Djambari memutuskan demikian terhadap Azmi Osman, 56, selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farez Rahman berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap tuduhan dan masing-masing denda RM500,000 bagi tiga pertuduhan pertama serta RM250,000 bagi pertuduhan keempat.

Salawati yang memerintahkan hukuman tersebut berjalan serentak, turut mengarahkan supaya gazet bagi pihak ketiga dikeluarkan terhadap harta-harta tertuduh yang disita dalam kes itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh menggantung pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Azmi sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat tuduhan itu oleh mahkamah yang sama di akhir kes pendakwaan pada 7 Januari 2011 tetapi selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan, tertuduh diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi.

Azmi menghadapi empat tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM3.8 juta, pada 2002 hingga 2005 ketika berkhidmat sebagai Pegawai Turus di Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Johor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment