My Add

Saturday 1 October 2011

Permohonan maaf Guan Eng tidak memadai - NGO

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak memadai untuk menutup kesalahannya mengeluarkan kenyataan bahawa Johor tidak selamat untuk rakyat Singapura.

Sebaliknya, menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali, Guan Eng perlu diberikan pengajaran setimpal supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan pada masa depan.

Jelasnya, sikap Guan Eng yang gemar mencetuskan polemik tidak sihat itu hanya akan memecah-belahkan perpaduan di kalangan rakyat.

"Kita desak supaya Guan Eng diberikan pengajaran yang berguna agar beliau tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang menyinggung mana-mana pihak.

"Kita nampak Guan Eng mahu menjadikan Pulau Pinang sama seperti Singapura dan terbawa-bawa sikap sama seperti mentornya, Lee Kuan Yew lantas menjadikan negeri Johor sebagai saingannya.

"Kita sudah bosan dengan sikap beliau yang seolah-olah memerintah satu negeri berlainan di luar dari Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamizun Khairuddin pula berkata, Guan Eng takut dengan realiti sehingga sanggup memberikan gambaran buruk dan palsu mengenai negeri Johor

"Orang seperti beliau ini tidak layak dan tidak sewajarnya menjadi Ketua Menteri," katanya.

Di Johor Bahru, Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas ke atas Guan Eng termasuk menyiasatnya di bawah Akta Hasutan.

Menurut beliau, kenyataan Guan Eng itu bukan sahaja disifatkan sebagai tidak bermoral dan beretika, malah boleh memberi impak negatif bukan sahaja terhadap negeri Johor malah negara.

"Tindakan undang-undang itu dianggap wajar memandangkan kenyataan Guan Eng dalam temu bual dengan media asing di Singapura baru-baru ini bukan sahaja tidak wajar, malah boleh menghasut orang ramai untuk mempercayai kenyataannya,'' katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment