My Add

Monday 3 October 2011

Barisan Nasional terus dukung prinsip permuafakatan


Sebahagian daripada para perwakilan memberi tepukan gemuruh kepada ucapan perasmian oleh Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung MCA Ke-58 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan terus mendukung prinsip permuafakatan politik antara kaum demi memastikan negara berupaya memelihara keadilan sosial di semua peringkat masyarakat.

Justeru Perdana Menteri menegaskan, kesemua parti BN harus bersedia melakukan perubahan dalam pelbagai aspek selari dengan peredaran masa supaya ia merangkumi keperluan setiap lapisan rakyat seterusnya kekal relevan.

Di samping itu katanya, parti-parti komponen BN juga harus bersedia mengakui segala kesilapan yang dilakukan dan segera membetulkannya.

“Apabila anda takut untuk berubah mengikut masa, anda semua menjadi tidak relevan sebagai sebuah parti politik,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-58 di sini semalam.

Najib merangkap Pengerusi BN dan Presiden UMNO menambah, perubahan yang dimaksudkan termasuk kesediaan menggugurkan calon masing-masing di kerusi tradisi demi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Oleh itu katanya, kesemua parti komponen diwajibkan menyokong penuh calon yang terpilih nanti sungguhpun individu itu bertanding di kerusi yang secara tradisinya ditandingi oleh parti komponen BN lain.

“Jangan pula kata ‘dia bukan calon kita, dia parti lain’. Kita tidak boleh ada (pemikiran) sebegini kalau kita mahu pertahankan Putrajaya,” ujarnya.

Justeru beliau menegaskan, kesediaan dan keharmonian di antara parti BN harus dimulakan dengan perpaduan dalam MCA dahulu untuk muncul sebagai sebuah parti terbesar yang mendukung aspirasi masyarakat Cina.

“Saya telah menyatakan dan ingin tegaskan sekali lagi, saya ingin melihat MCA yang padu dan kuat. Apa gunanya kepada BN kalau MCA berpecah belah, ada pasukan A, ada pasukan B dan kemudian ada pasukan C,” katanya. - Utusan 

No comments:

Post a Comment