My Add

Monday 3 October 2011

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 dan menggantikannya dengan Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 dengan beberapa pindaan, termasuk mewujudkan lebih banyak wakil daripada kalangan penduduk kawasan itu. 

Antara pindaan yang dibuat ialah mewujudkan jawatan Timbalan Pengerusi Perbadanan Kampung Baru daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah serta menambah keahlian Majlis Penasihat kepada perbadanan daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru dari dua kepada enam individu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata jawatan Timbalan Pengerusi perbadanan itu akan bertindak membantu dan menyokong tugas pengerusi, selain menjadi wakil kepada penduduk Kampung Baru.

"Dulu tak ada (wakil daripada kalangan penduduk Kampung Baru), sekarang ada di kalangan pewaris dan tuan tanah Kampung Baru," katanya pada sidang media di lobi Parlimen sebelum rang undang undang-undang itu dibacakan buat kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Mengulas 15 ahli Majlis Penasihat, termasuk jawatan pengerusi perbadanan itu, katanya, kini perbadanan itu mempunyai lima ahli wakil penduduk Kampung Baru termasuk jawatan Timbalan Pengerusi. 

Raja Nong Chik berkata, di bawah rang undang-undang baru ini juga pandangan Majlis Penasihat perlu diambil kira perbadanan itu berbanding rang undang-undang sebelum ini di mana pandangan Majlis Penasihat itu tidak memberi kesan kepada keputusan perbadanan. 

Beliau berkata, perubahan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pemilik dan pewaris tanah serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dalam beberapa siri perbincangan yang diadakan sejak awal tahun lepas sehingga semalam.

"Perubahan ini bukan bersikap kosmetik saja tetapi diambil kira pandangan-pandangan NGO seperti wakil daripada MAS (Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu), Persatuan Perbadanan Kampung Baru dan lain-lain. 

Ditanya sama ada ia dipinda atas desakan pembangkang, Raja Nong Chik berkata, Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru 2011 adalah tanggungjawab kerajaan. 

"Semua cadangan datang daripada mereka (pemilik dan pewaris tanah) bukan Pakatan Rakyat, (Ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarham Dr Lo'Lo Ghazali) bukan datang dari sana. Mereka adalah pemilik tanah, tidak ada kaitan dengan pakatan, malahan tanpa pakatan kita akan lakukan yang sama," katanya. 

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru 2010 dibacakan pada kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat pada 14 Disember tahun lalu dan ditangguhkan pembentangan untuk bacaan kali kedua pada sesi Dewan Rakyat Jun lalu. 

Raja Nong Chik berkata, selain itu, kuasa perbadanan dalam menguruskan hal pengambilan tanah di Kampung Baru turut dikeluarkan daripada Rang Undang -undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011. 

"Isu tanah sangat sensitif, saya fikir rundingan dan perbincangan sangat penting, mereka ada pelbagai rancangan. Untuk mendapatkan manfaat yang maksimum ia mestilah dibangunkan secara komprehensif. 

"Inilah di mana perbadanan akan memainkan peranan untuk memudahkan syarikat berkaitan kerajaan yang dipilih untuk membangunkan tanah itu," katanya ketika ditanya cara yang akan digunakan kementerian itu dalam membangunkan tanah di Kampung Baru. 

Antara perkara lain, Raja Nong Chik berkata, MAS yang diwujudkan di bawah Undang-Undang MAS 1950 akan dihapuskan dan dikekalkan di bawah Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru 2011. 

"Ini adalah atas keyakinan KWPKB serta hasil perbincangan dan kerjasama yang dicapai dengan warga Kampung Baru," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment