KUALA LUMPUR: Dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa Johor merupakan negeri tidak selamat adalah tidak benar kerana tahap keselamatan di seluruh negara termasuk negeri itu kini dalam keadaan baik dan terkawal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya sentiasa berusaha menurunkan kadar jenayah demi memastikan keselamatan rakyat dan keamanan negara terus terbela tanpa melibatkan kepentingan politik mana-mana pihak.
"Kadar jenayah turun di negeri termasuk Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kelantan kerana, yang pertama, kehadiran polis; yang kedua sebab penglibatan orang ramai dalam usaha mencegah jenayah.
"Saya tidak mahu terlibat dalam politik. Tanggungjawab saya adalah hendak menjaga dan memastikan negara berada dalam keadaan aman. Kita telah melakukan banyak benda, bukan hanya di Johor, tetapi di semua negeri di negara ini," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang mendakwa Johor berada dalam keadaan yang tidak selamat.
Ismail bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir di Majlis Hari Terbuka PDRM 2011 di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, PDRM memperluaskan rangkaian laman sosial, Facebook dan Twitter pasukan itu di peringkat kontinjen negeri dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat bagi membantu membanteras jenayah.
Beliau berkata, laman sosial itu bukan sahaja bertindak sebagai medium penyebaran maklumat malah perkongsian idea antara pasukan berkenaan dan masyarakat.
"Cara ini dilihat efektif dan mudah bagi membantu kita mengurangkan jenayah.
"Oleh itu, sekarang kita menumpukan kepada pencegahan dan langkah itu berjaya direalisasikan dengan penglibatan yang besar daripada masyarakat.
"Selain masyarakat di sesuatu daerah atau negeri dapat menyalurkan maklumat atau membuat rujukan dengan lebih pantas kepada kita, laman sosial itu juga akan menyediakan tips-tips pencegahan jenayah," katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment