My Add

Sunday, 2 October 2011

Guan Eng hanya minta maaf selepas dihentam: Dr Mahathir


KUALA TERENGGANU: Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak hairan dengan sikap berdolak dalih Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang akhirnya memohon maaf berikutan kenyataannya yang mendakwa kononnya Johor tidak selamat untuk pelabur asing.

Menurut bekas Perdana Menteri, tindakan Setiausaha Agung DAP itu memohon maaf kepada Sultan Johor dan rakyat negeri itu juga hanya dibuat selepas ia dihentam banyak pihak.

Beliau menyifatkan tindakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan buruk mengenai Johor tidak wajar dilakukan kerana ia jelas memandang rendah kepada orang lain.

"Maaf atau tidak maaf, saya tak nak persoalkan. Bila orang boo (hentam), baru dia minta maaf, dia pandang rendah pada orang lain.

"Saya juga tak nak persoalkan apakah permohonan maaf dia (Guan Eng) itu ikhlas atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kesembilan di universiti itu di Gong Badak dekat sini hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas tindakan Guan Eng yang meminta maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta seluruh rakyat Johor ekoran kenyataannya yang memburuk-burukkan negeri Johor tempoh hari.

Mengenai pendirian Pas yang tetap ingin melaksanakan hukum hudud di Kelantan, Dr. Mahathir menjelaskan, parti itu bukan sahaja menjadikan politik sebagai permainan mereka malah juga agama Islam.

Menurutnya, Pas sepatutnya mengambil kira dari segi rasional pelaksanaan hukum hudud itu memandangkan bukan semua penduduk beragama Islam.
Guan Eng perlu menghadap sultan

Perlu mengadap Sultan

Di JOHOR BAHRU: Guan Eng disuruh menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membuktikan dia benar-benar insaf, sedar kesilapan dan ikhlas dalam memohon maaf.

Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi berkata, meminta maaf melalui kenyataan akhbar adalah tidak beradab bagi seorang Ketua Menteri, lebih-lebih lagi terhadap Sultan.

"Kita sebagai rakyat walaupun bertaraf Ketua Menteri perlu tahu adab dengan sultan kerana baginda bukan taraf orang awam. Guan Eng kena buang ego atau rasa tinggi dirinya.

"Permohonan maaf ini juga diharap bukan kerana dia merasa tertekan, terpaksa, tersepit dengan keadaan atau menjaga kedudukan sendiri sebagai pemimpin negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas permohonan maaf Guan Eng kepada Sultan Johor dan rakyatnya yang dibuat semalam setelah memburuk-burukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

Minta maaf kepada seluruh rakyat

Di KUALA LUMPUR: 1 Okt. - Guan Eng perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia bukan sahaja kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyatnya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, permohonan maaf beliau adalah pembohongan semata-mata kerana tetap mempertahankan dirinya dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang memburuk-burukkan negeri Johor.

"Guan Eng seolah-olah tidak kesal kerana tetap dan terus menyalahkan media dengan menyatakan kenyataannya telah disalah tafsir.

"Biarpun terdapat rakaman dan bukti yang jelas mengenai kenyataan yang dikeluarkan, namun beliau tetap mengatakan dirinya tidak bersalah walaupun memohon maaf semalam.

"Ini kerana sebelum ini, beliau menafikan mengeluarkan kenyataan itu kepada media antarabangsa di Singapura. Nyata beliau sedang berbohong sebelum ini.

"Walaupun memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyatnya, namun jangan lupa, hati rakyat Malaysia juga terguris, justeru itu, permohonan maaf perlu menyeluruh," katanya pada sidang media di sini hari ini.

 


No comments:

Post a Comment