My Add

Tuesday 4 October 2011

Hudud: Pas minta MCA jangan buat tuduhan liar

Harakahdaily 
KUALA LUMPUR: Resolusi persidangan MCA yang menyatakan hukum Hudud menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu menunjukkan tahap kelemahan yang sangat ketara khususnya dari sudut maklumat dan pengetahuan asas tentang Islam dalam UMNO Barisan Nasional. 


Menurut Bernama, MCA telah meluluskan satu resolusi menolak pelaksanaan hukum Hudud bukan sahaja atas sebab ia bercanggah dengan rukun asas Perlembagaan Persekutuan, malah dituduh mereka, hukum Hudud menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.


“Kejahilan ini mencerminkan kepada rakyat betapa MCA yang menjadi komponen penting dalam BN selepas UMNO, gagal menjaga perasaan umat Islam, sehingga meluluskan satu resolusi yang memalukan tentang Islam. 

 "Tidak timbul soal Islam menyekat kebebasan agama lain, atau menyekat amalan dan penghayatan agama lain,” terang Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pagi ini.



Tuan Ibrahim juga menerangkan sekali lagi bahawa isu Hudud bukanlah isu politik, ia adalah satu isu tuntutan agama untuk umat Islam. Beliau juga berharap tiada kengkangan dan campur tangan untuk mengutuk dan menghalang umat Islam dalam menghayati keperluan wajib agama mereka. 

“Sehubungan itu, di atas sifat saling hormat menghormati dan toleransi beragama, golongan bukan Islam boleh tidak menyokong Hudud, akan tetapi janganlah seperti MCA yang menuduh liar bahawa hukum Hudud ini menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu,” nasihat beliau.

Tuan Ibrahim berhujah bahawa “Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1993) dan Terengganu (2003) yang telah diluluskan dalam kedua-dua Dewan Undangan Negeri harus diterima” kerana “ia telah melalui proses sistem demokrasi yang diperakui oleh perlembagaan negara.”

“Kedua- dua enakmen ini hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja, Manakala golongan bukan Islam dikecualikan dari perundangan syarak kerana mereka bukan Islam,” terang beliau lagi.

Pas, katanya melihat suasana saling hormat-menghormati, memahami dan tidak mencampuri urusan agama lain perlu dikekalkan demi keharmonian negara.

 

No comments:

Post a Comment