My Add

Monday 3 October 2011

Islam mahu manusia menghukum dengan adil - Dr Mahathir

JITRA; Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, adalah tidak adil sekiranya Pas melaksanakan hukum hudud di negara ini dengan melibatkan orang Islam sahaja dan bukan Islam pula dikecualikan daripada hukuman itu.

Menurut beliau, ajaran Islam mahukan manusia menghukum dengan adil atas kesalahan yang dilakukan.

Katanya, pelaksanaan hukum hudud di negara ini sepatutnya mengambil kira keadaan rakyat negara ini yang mempunyai pelbagai agama.

"Dalam negara kita terdapat penduduk berbilang agama, kalau 100 peratus Islam, tak mengapalah. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kata hudud hendak dilaksanakan untuk orang Islam sahaja.

"Jadi apabila dua orang mencuri, seorang beragama Islam dan seorang lagi bukan Islam, yang seorang potong tangan (dan) yang seorang lagi masuk penjara. Adilkah itu?

"Barang kali bagi Nik Abdul Aziz adil, bagi saya tak adillah. Sama-samalah kalau potong tangan, potong tangan. Kalau nak masuk dalam jel, masuk jel sama-sama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Perhimpunan Perdana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kedah Siri 2 Dewan Wawasan Jitra di sini semalam.

Menurutnya, adalah tidak adil sekiranya jenayah yang sama tetapi hukuman adalah berbeza jika ia dilakukan oleh dua orang berlainan agama.

Beliau ditanya mengenai pendirian Pas yang masih berharap untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini jika pembangkang mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Nik Abdul Aziz semalam dilaporkan berkata, pelaksanaan hukum hudud hanya melibatkan orang Islam dan masyarakat bukan Islam seharusnya tidak perlu risau.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan bukan tidak setuju dengan hukum hudud tetapi keadaan dalam negara ini yang mempunyai berbilang agama menjadikannya tidak sesuai dilaksanakan.

Ditanya mengenai sama ada bekas ketua gerila komunis Malaysia, Chin Peng yang dilaporkan sedang sakit patut dibenarkan pulang ke negara ini, Dr. Mahathir berkata, ia perlu mengambil kira sensiviti orang ramai.

Katanya, walaupun mungkin ada rakyat yang memaafkan Chin Peng, lebih ramai yang tidak dapat menerima perbuatannya itu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

"Dia pilih untuk mengkhianati negara. Walaupun ada orang yang mungkin hendak memaafkan dia, tetapi lebih ramai yang tidak akan memaafkannya kerana mereka kehilangan keluarga dalam peperangan, putus kaki dan tangan. Kita kena fikir perasaan orang itu sama, jangan fikir tentang perasan Chin Peng sahaja," ujar beliau. - Utusan.

No comments:

Post a Comment