My Add

Monday 3 October 2011

Mana pergi slogan hijau, bersih P. Pinang?

PULAU PINANG: Sudahlah tanah untuk beriadah amat terhad, kerajaan DAP Pulau Pinang pula seolah-olah tidak peka dengan masalah yang dihadapi kebanyakan penduduk di negeri ini.

Berikutan itu, kira-kira 200 penduduk Teluk Bayan mengadakan perhimpunan bagi membantah projek tambak tanah di pantai berdekatan.

Rata-rata mereka meluahkan rasa kecewa dengan kerajaan negeri kerana gagal menunaikan permintaan penduduk agar projek tambak pantai diberhentikan bagi memastikan persekitaran yang sihat dan tidak tercemar.

Difahamkan projek yang bakal dijalankan itu bermula dari kawasan persisiran pantai berhampiran pusat membeli belah Queensbay Mall sehingga jeti Putra Marine.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Teluk Bayan, Sharifah Hamidah Syed Mohamed berkata, pihaknya mendapat tahu kawasan terbabit bakal ditambak.

Jelasnya, beliau difahamkan jarak kawasan terlibat adalah kira-kira satu kilometer dan jika diteruskan bermakna akan berlaku kemusnahan terhadap alam sekitar seperti yang berlaku di Persiaran Gurney.

"Kami menulis surat kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng di mana surat itu diterima oleh setiausaha politiknya, Ng Wei Aik pada 14 Julai lalu.

"Kemudian kami dijemput untuk berjumpa dengan beliau pada 8 Ogos lalu namun beliau hanya mengatakan perkara itu masih dalam perbincangan.

"Kami tidak mahu kata putus sebegitu. Kami mahu beliau mendengar apa yang kami suarakan iaitu tidak mahu projek dijalankan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Sharifah Hamidah, rakyat di negeri ini sering digembar-gemburkan dengan slogan 'Pulau Pinang Hijau Bersih' tetapi apa yang berlaku ialah ia sekadar cakap kosong.

"Buktikan kepada kami bahawa slogan itu bukan kosong dan kerajaan negeri benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat," katanya.

Tambahnya, di negara-negara maju terdapat banyak tempat riadah untuk orang awam tetapi berbeza di sini, pemaju diutamakan demi mengaut keuntungan. - Utusan

No comments:

Post a Comment