My Add

Tuesday 4 October 2011

Pembangkang dicabar lakukan sumpah laknat

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang hari ini dicabar membuat sumpah laknat di masjid bagi membuktikan mereka tidak menggunakan wang bagi mendapatkan undi pada mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata, langkah itu wajar demi sebuah keadilan kerana selama ini pembangkang sering menuduh calon-calon parti pemerintah menggunakan wang untuk meraih sokongan rakyat.

"Saya mahu mencari keadilan dan saya juga tidak mahu menyembunyikan perkara yang benar. Saya sebenarnya percaya ada kalangan calon pembangkang menggunakan wang dan saya tidak kata semua.

"Oleh itu, jika benar parti pembangkang itu bersih, saya minta calon-calon pembangkang yang bertanding membuat sumpah laknat di masjid dengan menyatakan mereka tidak menggunakan wang untuk raih undi," katanya.

Beliau berkata turut membahaskan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya pada persidangan Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan jentera kerajaan, Ibrahim berkata, keadaan itu terbukti ketika berlakunya beberapa pilihan raya kecil sebelum ini antaranya Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Kelantan.

Begitu juga kata Ibrahim, terdapat penggunaan jentera kerajaan dalam satu-satu pilihan raya apabila parti-parti pembangkang yang mentadbir negeri turut terbabit melakukan perkara berkenaan.

Beliau berkata, apa yang dinyatakan itu adalah berdasarkan daripada pengalamannya selama berada dalam dunia politik.

"Dalam Pilihan Raya Kecil di Manek Urai dan di negeri-negeri yang ditadbir oleh pihak pembangkang, saya tengok cara penggunaan jentera kerajaan (negeri), sama sahaja. Sama-sama memberi geran tanah, sama-sama memberi sumbangan dan sama-sama beri pam air," ujarnya.

Selain itu beliau berkata, usaha-usaha memindahkan pengundi turut dilakukan oleh semua parti politik termasuk parti-parti pembangkang.

"Ini adalah berdasarkan kepada pengalaman saya. Saya telah terlibat di dalam beberapa siri pilihan raya dan saya bersahabat dengan semua parti politik. Saya tahu soal pindah pengundi dilakukan oleh semua parti politik.

"Parti-parti pembangkang juga melakukan kerja pindah pengundi ini. Ini tidak boleh dinafikan dan semua orang tahu, bukan satu perkara yang sulit," katanya lagi.

Dalam perbahasannya beliau bersetuju dengan cadangan memanjangkan tempoh berkempen walaupun sehingga sampai sebulan asalkan selepas pilihan raya semua ceramah dan kempen politik diharamkan.

"Masalahnya di Malaysia ceramah dan kempen politik berlaku sepanjang tahun. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia tidak membantu usaha-usaha menyatupadukan rakyat bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malah keseluruhan rakyat Malaysia.

"Sepatutnya selepas pilihan raya ditumpukan kepada usaha-usaha memupuk perpaduan dan membangunkan negara. Apabila hampir pilihan raya barulah diadakan kempen atau ceramah politik," tambahnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment