My Add

Tuesday, 4 October 2011

YIU Yala anugerah Ijazah Kehormat kepada Dr. Mahathir

Dr. Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) daripada Wan Muhammad Nor Matha di Universiti Islam Yala, Thailand, 
YALA, Thailand: Universiti Islam Yala (YIU) semalam menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai menghargai peranan besar beliau di peringkat antarabangsa.

Anugerah itu juga bagi menghargai sumbangan Dr. Mahathir dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga sehingga turut membanggakan umat Islam di seluruh dunia.

Anugerah tertinggi itu disampaikan oleh Presiden Majlis Senat YIU, Wan Muhammad Nor Matha pada majlis konvokesyen khas di universiti berkenaan yang dihadiri lebih 1,000 tetamu jemputan, ahli senat, pensyarah dan penuntut.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri Thailand, Somchai Wong Sawad dan Rektor YIU, Dr. Ismail Lutfi Chapakeya.

Somchai dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Mahathir dan juga rakyat Malaysia amnya.

Beliau berkata, selain menjadi Perdana Menteri Malaysia yang berkaliber dan berjaya mengemudi Malaysia sebagai sebuah negara moden dan makmur, Dr. Mahathir juga merupakan tokoh pemimpin yang dihormati di persada antarabangsa terutama di negara Thailand dan ASEAN.

Katanya, kesudian Dr. Mahathir menerima ijazah kehormat daripada YIU merupakan tanda penghormatan tidak ternilai kepada warga Thailand.

"Ia juga tanda jalinan muhibah antara dua negara berjiran serta kerjasama intim ke arah membina pembaharuan di sudut pembelajaran dan pendidikan menuju kedamaian sejagat,'' katanya.

Beliau menambah, Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi bagi warga Thailand.

"Sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir telah banyak memberi peluang kepada anak-anak dari Thailand menyambung pelajaran mereka di setiap peringkat, demikian juga peluang pekerjaan dan hubungan ekonomi," katanya.

YIU ditubuhkan pada 1998, merupakan universiti Islam swasta pertama di Thailand hasil usaha gigih sekumpulan anak muda Islam, pemimpin masyarakat dan ahli politik yang menerima pendidikan daripada universiti tempatan dan luar negara.

Sebelum itu, ia dikenali sebagai Kolej Islam Yala sebelum dinaik taraf menjadi sebuah universiti oleh kerajaan Thailand pada 2007.

Ketika ini, lebih 3,000 belajar di universiti itu, termasuk 100 pelajar luar negara termasuk dari Malaysia, yang mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana dalam bidang agama, bahasa, sains sosial, sains teknologi dan pendidikan. - Utusan









No comments:

Post a Comment