KUALA LUMPUR: Tidak menerima sebarang pelantikan jawatan dalam kerajaan jika prestasi parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 merosot berbanding sebelumnya sebagai menyokong keputusan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, antara 17 resolusi yang dicapai Pemuda MCA pada perhimpunan agungnya.
Pada mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH di sini hari ini, perwakilan Pemuda MCA mencapai tiga resolusi melibatkan hal ehwal parti, lima politik, tiga pendidikan, empat berkaitan ekonomi dan dua berhubung hal ehwal sosial.
Antara lain, sayap MCA itu menggesa parti melatih anggota muda bagi mempercepatkan proses pembaharuan dalam kepimpinan serta memberi peluang kepada lebih ramai pemimpin Pemuda MCA untuk mewakili BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Selain itu, pergerakan itu mahu MCA mempertimbangkan semula cadangan meluluskan resolusi agar semua Pemuda MCA di setiap bahagian boleh memilih seorang perwakilan ke perhimpunan agung MCA bagi meningkatkan bilangan perwakilan serta suara golongan muda.
Resolusi itu juga menyokong penuh Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di samping menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam meningkatkan bilangan penjawat awam berbangsa Cina di peringkat pegawai kanan di setiap jabatan bagi menonjolkan konsep 1Malaysia. — Bernama
No comments:
Post a Comment