My Add

Tuesday 4 October 2011

Zamil Ibrahim akur jika Zaid Ibrahim arah tutup mulut

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim akur sekiranya Pengerusi KITA, Datuk Zaid Ibrahim memintanya menutup mulut berhubung isu membabitkan dua ahli perniagaan Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Datuk Mohamed Azman Yahya.

Sambil menegaskan, ia sebagai tanda menghormati ketuanya itu, Zamil berkata, adalah menjadi amalan dalam KITA, supaya sebarang kenyataan oleh mana-mana ahli perlu merujuk kepada Zaid atau pentadbiran pusat KITA.

"Begitu pun dalam isu melibatkan Kalimullah Masheerul dan Mohamed Azman ini, saya yakin Zaid tidak akan meminta saya menutup mulut kerana beliau berasakan ada asas untuk perkara itu diberikan penjelasan lanjut oleh kedua-dua tokoh perniagaan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan beberapa pihak bahawa Kalimullah dan Mohamed Azman terlibat dalam usaha menutup mulut pemimpin KITA berhubung isu pembelian saham Eastern & Oriental (E&O) oleh Sime Darby Bhd. (Sime Darby) dan Malaysia Airlines (MAS) dengan Air Asia.

Zamil menambah, beliau yakin ada pihak ketiga yang meminta Zaid memberi arahan kepadanya untuk tidak lagi membuat sebarang kenyataan berkenaan isu itu.

Bagaimanapun kata beliau, sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang memperjuangkan kebebasan dan tidak berpihak kepada mana-mana individu atau parti, Zaid tidak melayan permintaan tersebut.

''Memang Zaid ada menghubungi saya sebelum ini tetapi bukan meminta saya mendiamkan diri sebaliknya bertanyakan lebih lanjut kenyataan saya kepada media berhubung isu ini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment