My Add

Sunday, 27 November 2011

100 koperasi dilantik pemborong

KUALA LUMPUR, AHAD. 27 November, 2011:
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan melantik 100 koperasi dari seluruh negara sebagai pemborong utama barang-barang kawalan dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha kerajaan dalam memerangi kos hidup yang semakin meningkat akibat kenaikan mendadak harga barang di pasaran global.

Katanya, perkara itu juga salah satu transformasi kementerian menerusi Dasar Koperasi Negara 2011-2012 yang bertepatan dengan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadikan tahun 2012 sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa.

‘‘Kerajaan mahu koperasi ditransformasikan kepada suatu entiti perniagaan yang lebih efisien dan mampu meningkatkan pendapatan anggotanya.

‘‘Malah dengan penglibatan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan, kerajaan akan lebih drastik memperkenalkan produk-produk murah, lebih jimat dan sama hebat,” katanya selepas merasmikan Tahun Koperasi Antarabangsa 2012 di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, Malaysia bercadang menjadi tuan rumah kepada persidangan berkaitan koperasi di peringkat ASEAN yang merupakan acara wajib sempena Tahun Koperasi Antarabangsa.

Menerusi langkah itu katanya, ia sekali gus memberi peluang kepada koperasi di dalam negara memperluaskan perkhidmatan dan perniagaan melalui jalinan kerjasama dengan koperasi dari luar negara.

Menurutnya, kerajaan kini menyasarkan penubuhan sebanyak 1,000 koperasi setiap tahun supaya ia dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan ekonomi negara. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment