My Add

Sunday 27 November 2011

30 syarikat Teras bumiputera dipilih

Najib Tun Razak bersalaman dengan para hadirin pada Majlis Pelancaran Program Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR,AHAD,  27 November, 2011: 
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemilihan 30 syarikat bumiputera sebagai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS).

Beliau berkata, kumpulan pertama syarikat TeraS itu mempunyai 3,350 pekerja dan berjaya menjana perolehan sebanyak RM900 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, bagi meningkatkan jumlah itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 100 syarikat TeraS akan dipilih dalam tempoh tiga bulan ini.

''Istimewanya program ini, syarikat TeraS akan mendapat akses kepada peluang perniagaan baru, pembiayaan, guna tenaga berbakat dan perkhidmatan nasihat perniagaan.

''Ini termasuk perolehan kerajaan di mana Kementerian Kewangan dan kementerian lain akan mengenal pasti peluang yang khusus daripada projek tersedia. Syarikat TeraS juga akan diberi keutamaan untuk membuat bidaan dengan syarat mereka mengemukakan bidaan berdaya saing,'' katanya.

Beliau berucap melancarkan program Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

SAIFULIZAM MOHAMAD dalam laporannya menyebut antara 30 syarikat TeraS yang terpilih adalah Asturi Metal Builders (M) Sdn. Bhd; Gagasan Carriers Sdn. Bhd.; WSA Capital Corporation Sdn. Bhd; Azman Hamzah Plastik Sdn. Bhd. dan Sipro Plastic Industries Sdn. Bhd.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai hasrat Teraju membantu 1,100 syarikat bumiputera mengembangkan perniagaan bukan sahaja di peringkat domestik malah, di peringkat serantau.

''Di sini saya juga ingin menggalakkan penyertaan syarikat bumiputera dalam sektor pertumbuhan baru antaranya bidang kesejahteraan kesihatan, teknologi hijau, sektor kreatif dan media.

''Selain itu, mereka digalakkan terlibat dalam bidang minyak dan gas, industri pembinaan, industri halal, kewangan Islam, pelancongan dan hospitaliti serta tenaga. Sektor-sektor ini boleh mendatangkan peluang besar dan pulangan lumayan,'' katanya.

Sementara itu, Najib berkata, pemberian insentif berbentuk ekuiti melibatkan individu bumiputera yang berkebolehan dan berkepakaran juga perlu dilaksanakan.

''Saya yakin melalui langkah ini ia akan memastikan syarikat tersebut terus diterajui dengan baik seterusnya menyumbang kepada peningkatan pemilikan ekuiti secara langsung.

''Salah satu contoh kerjasama ke arah itu ialah termeterainya perjanjian antara Teraju, Mara dan Johor Corporation (JCorp). Perjanjian ini merupakan usaha mempertingkatkan pemilikan ekuiti dan membangunkan usahawan korporat bumiputera,'' katanya. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment