My Add

Sunday, 27 November 2011

Calon boleh menang diterima majoriti pengundi: Najib

KUALA LUMPUR, SABTU, 26 November, 2011:
DATUK Seri Najib Razak berkata calon boleh menang atau "winnable candidate" mestilah seseorang yang boleh diterima majoriti pengundi dalam masyarakat tempatan serta jentera parti.

Perdana Menteri berkata sekiranya jentera parti menolak, seseorang yang ada kebolehan atau mempunyai rekod kerja yang baik pun pada akhirnya tidak akan berjaya, seterusnya parti akan kalah dan kehilangan kuasa.

"Kalau kita sebagai anggota parti tidak ada sikap yang terbuka dan kita 
tekankan orang tu (calon itu) mesti merupakan calon yang ikut hierarki (parti) 
tapi calon kita itu tak mungkin berjaya, calon kita akan gagal," katanya kepada 
Bernama semasa wawancara khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2011, di sini hari ini. 

Presiden UMNO itu menegaskan pentingnya semua pihak dalam parti memahami 
maksud "winnable candidate" yang mahu ditonjolkan semasa pilihan raya. "Kalau tidak, sukar nak mencapai kejayaan. Kalau winnable candidate itu ditampilkan dalam kelompok dalam bahagian tanpa mengambil kira kehendak pengundi 
teramai, calon itu pun tak akan berjaya," kata Najib.

Beliau mengakui adalah sukar untuk memuaskan hati semua pihak, terutama di 
peringkat bahagian UMNO, tetapi menurutnya, "rumusan calon boleh menang itu 
adalah supaya setiap kerusi yang ditandingi mempunyai peluang terbaik untuk 
menang".

Bagaimanapun katanya, proses pemilihan calon belum muktamad dan penilaian 
akan dibuat bukan sahaja secara subjektif tetapi juga objektif.

"Ini yang paling penting sekali, bukanlah orang yang kita sukai secara 
peribadi tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam 
kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan," katanya.

Katanya soal menentukan calon ini adalah satu perkara yang sangat mencabar 
dan sukar dilakukan dan mustahil parti dapat memuaskan semua orang. 
"Mengikut pengalaman saya 35 tahun dalam politik, tak pernah berlaku dalam 
pilihan raya (calon yang dipilih memuaskan hati semua orang).

"Tapi apapun yang dibuat parti, keputusan parti, pada kesudahannya kita kena 
terimalah, sebagai orang parti keputusan parti walaupun keputusan itu tidak 
mengikut selera atau kehendak kita," katanya.

Beliau berkata banyak juga peristiwa di mana beliau melihat orang yang setia 
kepada parti, walaupun keputusan parti tidak disenanginya tetapi menerimanya dan 
akhirnya calon akan menang.

"Sebaliknya kalau dia terus menentang, dia nak kata apa nak jadi-jadilah, 
aku nak menentang. Jadi maknanya dia tak setia pada parti dan calon itu kalah 
dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan 
kehilangan kuasa," katanya.

Najib juga mengakui bahawa di peringkat bahagian pun, anggota parti tidak 
sependapat mengenai calon terbaik di kalangan mereka dan apa yang harus ada 
ialah disiplin parti.

"Maknanya bila sampai pada masanya (pemilihan calon), keputusan itu perlu 
diterima, disokong dan terus dipertahankan oleh setiap ahli parti," katanya. 
Katanya, kriteria pemilihan calon ini difikirkan wajar berikutan keputusan 
pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional dan UMNO tewas 
di lima buah negeri dan perlu menjadi pengajaran yang tidak harus dilupakan.

Menggunakan analogi semangat dan perjuangan skuad Harimau Muda yang 
menggondol pingat emas pada Sukan Sea ke-26 di Jakarta-Palembang baru-baru ini, 
walaupun menghadapi cabaran sengit, beliau berkata UMNO juga perlu mempunyai 
ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi pilihan raya.

"Kalau kita ada kekuatan mental dan kita ada jiwa yang kental, kita boleh 
berdepan dengan persekitaran yang sangat mencabar walaupun pihak musuh membuat apa jua tekanan terhadap kita termasuk tekanan psikologi dan emosi. 

"Kalau kita kental dari segi kekuatan minda kita, dan semangat kita pun kukuh, 
maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh 
mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun 
gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya 
berjaya juga," katanya.

Mengenai pengundi muda, beliau berkata sudah terbukti dalam pilihan raya kecil 
sejak dua tahun yang lepas, biasanya majoriti golongan itu menyokong UMNO. 

"Bererti sudah terbukti bahawa tidak semestinya orang muda bersikap 
"anti-establishment" (anti kerajaan) dan tidak menyokong parti kerajaan iaitu 
parti BN, mereka akan menilai, siapakah yang lebih memahami kehendak dan naluri 
mereka sebagai orang muda," katanya.

Katanya, pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO perlu prihatin dalam mereka 
merealisasikan perjuangan mereka untuk generasi muda. 
Beliau memberi contoh projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang berbangkit 
dalam makmal Pemuda BN yang seterusnya dicadangkan kepada kerajaan.

Najib berkata perkara seperti itu memerlukan pertimbangan daripada kerajaan, 
dan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang amat peka dan amat prihatin kepada 
kehendak dan tuntutan generasi muda.

"Jadi, maknanya walaupun saya bukan orang muda...walaupun saya rasa saya 
muda (ketawa), tetapi maknanya kita mesti melakukan pendekatan dengan generasi 
muda sepertimana juga dengan wanita, golongan warga emas, kelas pertengahan dan 
pelbagai lagi kelompok dalam masyarakat," katanya. 

No comments:

Post a Comment