My Add

Friday 25 November 2011

Aishah Ghani sokong kritikan berhemah

Aishah Ghani
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 25 November, 2011:
BUKAN tidak boleh mengkritik kepemimpinan yang ada sekarang, tetapi biarlah kritikan itu sihat dan membina untuk kepentingan UMNO supaya menjadi parti lebih kuat serta relevan kepada orang Melayu.

Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, berkata setiap kritikan biar benar-benar ikhlas dan pembahas perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dibangkitkan.

“Kritikan memang dibenarkan jika ia dapat memperbetulkan keadaan serta dasar yang kita buat tidak menepati sasaran. Namun, kritikan itu biarlah berhemah, sopan, tertib dan mengikut prosedur betul bagi memastikan UMNO tidak diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang menjadikannya sebagai isu apabila menghadapi pilihan raya kelak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan perwakilan lebih berhati-hati dan menegur secara sopan ketika berbahas menjelang Perhimpunan Agung UMNO, Selasa ini.

Aishah berkata, pemimpin terdahulu bertungkus-lumus dan rela dikritik apabila gagal melaksanakan tanggungjawab, ia bagi memastikan kekuatan parti serta kemajuan negara dapat dilakukan untuk anak cucu mereka, sehingga hari ini.

“Tidak hairanlah mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi UMNO. Pada masa sama membaiki kelemahan diri berdasarkan kritikan bagi memastikan satu kerajaan kuat dan diperlukan rakyat ketika itu.

“Pemimpin dulu sama ada lelaki atau wanita sanggup meredah siang malam menemui orang ramai tanpa mengharapkan balasan. Hendak bermesyuarat kalau tiada balai raya atau bangunan, di bawah pokok pun boleh membincangkan hal parti serta masalah rakyat,” katanya. 

No comments:

Post a Comment