My Add

Tuesday 1 November 2011

Bukti komitmen Utusan - TPM

MUHYIDDIN Yassin menyaksikan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin menerima cek tajaan daripada Hugh W. Thompson dengan diperhatikan Zin Mahmud pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (HSKU 2010), di Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD 
dan SYUKRI SHAARI
SELASA, 1 November, 2011: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kejayaan Kumpulan Utusan menganjurkan anugerah hadiah sastera selama 26 tahun sebagai bukti komitmen syarikat itu menggalakkan perkembangan bidang kesusasteraan Melayu tanah air.

Bukan itu sahaja, malah Timbalan Perdana Menteri menganggap usaha tanpa jemu Kumpulan Utusan itu merupakan kesinambungan kepada perjuangan Utusan yang selama ini tidak pernah luntur memajukan bangsa dan negara.

Apa yang lebih penting kata beliau, pengiktirafan Kumpulan Utusan terhadap hasil karya para penggiat sastera negara mampu melahirkan karya-karya agung yang akhirnya boleh dijadikan legasi bagi tatapan generasi muda akan datang.

"Utusan Melayu lahir daripada semangat perjuangan bangsa Melayu dalam menuntut kemerdekaan. (Justeru) Pada hemat saya, usaha ini merupakan kesinambungan kepada perjuangan Utusan yang tidak pernah luntur untuk memajukan bangsa dan negara.

"Saya sebenarnya amat berbangga dengan hadiah sastera ini kerana ia telah melahirkan ramai penulis yang berwibawa sama ada di kalangan penulis yang mapan mahupun penulis muda yang berbakat besar. Seharusnya mereka ini diberikan dorongan dan pengiktirafan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (HSKU 2010) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak: Pengerusi Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil Malaysia, Hugh W. Thompson dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HSKU 2010, Zin Mahmud.

Pada majlis malam tadi, Muhyiddin diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah bagi kategori novel remaja yang telah dimenangi oleh Sri Rahayu Mohd. Yusop melalui karyanya bertajuk Bima Sakti Menari.

Muhyiddin dalam ucapannya turut menaruh keyakinan tinggi terhadap anugerah seumpama itu yang mampu membawa sastera ke tahap global.

Untuk itu, katanya, adalah penting semua karyawan bersama-sama menggembleng tenaga bagi menghasilkan karya-karya yang tidak sahaja indah bahasanya bahkan boleh membawa mesej menyumbang ke arah pembangunan negara.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, pendedahan terhadap sastera Melayu hendaklah dibentuk sejak awal bangku sekolah lagi kerana jika ia tidak diperkenalkan di peringkat itu lambat laun sastera Melayu akan terpinggir kerana hilang daya tarikan.

"Penyerapan ilmu sastera sebagai mata pelajaran di sekolah-sekolah menengah merupakan satu usaha membolehkan generasi muda menghayati kegiatan sastera di samping mampu memperkuatkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Sebenarnya, saya amat berbangga kerana terdapat naskhah yang dihasilkan di dalam hadiah sastera ini telah dijadikan teks wajib dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Moden dan kini menjadi bahan rujukan di sekolah-sekolah," katanya lagi.

Beliau juga menyentuh mengenai pentingnya bidang kesusasteraan memanfaatkan era teknologi maklumat supaya ia dapat dimajukan seiring dengan kemajuan negara.

"Saya fikir karya sastera dalam era ini harus mencerminkan Malaysia sebagai negara maju yang progresif. Kejayaan membangunkan negara tidak hanya diukur berdasarkan pencapaian material semata-mata tetapi turut dinilai dari segi ketinggian budaya dan tahap inteleknya," ujarnya.

Sementara itu, beliau mahu lebih banyak lagi syarikat swasta terutama bertaraf multinasional dapat menjadikan bidang sastera sebagai salah satu khidmat masyarakat mereka.

"Oleh itu saya amat berharap penglibatan syarikat multinasional seperti ExxonMobil dalam penganjuran sayembara sastera seperti ini tiada noktahnya.

"Saya percaya untuk melihat satu program bertahan selama 26 tahun seperti hadiah sastera ini bukanlah satu kerja yang mudah memandangkan untuk mengendalikannya sudah tentu melibatkan kewangan yang besar," ujarnya.

No comments:

Post a Comment