My Add

Tuesday 1 November 2011

Tindakan tegas terhadap kakitangan salah guna inovasi

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

SELASA, 1 November, 2011: Kakitangan Kementerian Kewangan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan daya kreativiti dan hasil inovasi yang dicipta untuk tujuan negatif.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, tindakan penyalahgunaan itu boleh memberi kesan buruk, sekali gus merugikan dan menjejaskan nama baik organisasi yang terlibat, lapor Utusan Malaysia.

Justeru, katanya, tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mana-mana kakitangan yang tidak bertanggungjawab itu.

"Setiap kreativiti dan inovasi perlu digunakan ke arah kebaikan, dalam perkara ini saya menyeru ketua-ketua jabatan supaya menyemak prosedur dan kawalan kerja setiap kakitangan di bawahnya.

"Mereka yang cuai atau tidak melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan serius akan juga diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi 2011 Kementerian Kewangan di Puterajaya, hari ini.

Pada sambutan tersebut pelbagai program diadakan seperti pameran inovasi, ceramah, pameran dan jualan produk ICT.

Menurut Awang Adek, setiap kakitangan kerajaan bukan sahaja perlu mempunyai daya saing tetapi juga sikap berintegriti yang tinggi serta mampu berfikir secara kreatif dan inovatif.

Katanya, ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mencapai pembangunan yang mapan dengan berpaksikan model baru ekonomi.

"Kita harus memahami realiti dunia sekarang iaitu pasaran yang menentukan hala tuju inovasi serta kepesatan perkembangannya.

"Dunia telah beralih daripada produk-produk “blockbuster” kepada “niche” market; daripada perkhidmatan “one size fits all” kepada perhubungan yang lebih intim dan peribadi," katanya. 

No comments:

Post a Comment