My Add

Thursday, 3 November 2011

Dewan Muslimat Pas bantah Seksualiti Merdeka 2011

Siti Zailah
KHAMIS, 03 November, 2011: Dewan Muslimat Pas hari ini membantah sekeras-kerasnya program Seksualiti Merdeka 2011 yang dianjurkan bagi mendapatkan hak kebebasan individu dalam isu pergaulan seksual di dalam negara.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, program yang bertujuan untuk menghalalkan hubungan sejenis di negara ini tidak patut diadakan.

"Walaupun kita mahukan kebebasan untuk berhimpun, perlu ada garis panduan yang tidak melampaui tabii di negara yang agama rasminya adalah agama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini, lapor Bernama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan gaya kehidupan Barat yang memperjuangkan hak kebebasan hubungan sama jenis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu tindakan segera diambil oleh pihak bertanggungjawab dalam hal itu.

Program yang dianjurkan buat kali keempat itu berlangsung di Galeri Annexe, Pasar Seni bermula semalam sehingga 13 November ini dan dilaporkan dirasmikan oleh Penganjur Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan. 

No comments:

Post a Comment