MELAKA 03 Nov. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) komited memperluaskan tindakan protes secara senyap isu kenaikan harga barang di Sabah dan Sarawak.
Bernama memetik Presidennya Datuk Omar Osman sebagai berkata, penglibatan kongres juga akan menganjurkan penerangan khas berhubung isu tersebut menerusi sokongan badan bukan kerajaan (NGO).
"Justeru, saya minta semua penjawat awam di seluruh negara melakukan protes senyap ini secara berterusan dan kita mensasarkan untuk tempoh tiga bulan bermula bulan ini hingga Januari tahun depan sebagai permulaan.
"Tak perlulah kita berarak di jalan raya untuk menunjukkan protes, cukup dengan hanya melakukan secara senyap memboikot peniaga yang menaikkan harga barang,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Khas CUEPACS Peringkat Kebangsaan di Seri Negeri di Melaka, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh.
Sebelum ini katanya usaha kongres itu turut mendapat sokongan daripada Majlis Belia Malaysia (MBM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Jelas beliau, kongres di peringkat negeri telah diarah untuk menjalankan tindakan yang sama supaya para peniaga lebih prihatin dan memberikan kerjasama agar tidak menaikkan harga barangan terutamanya ketika musim cuti persekolahan dan sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi.
"Sekurang-kurangnya kita berharap dapat memperoleh jumlah 40 peratus iaitu kira-kira 520,000 penjawat awam mempunyai kesedaran untuk memboikot kenaikan harga barang.
“Jika hendak mencapai 100 peratus sememangnya mustahil, tetapi jika semua melakukan tindakan ini, implikasinya akan dapat dilihat,” kata Omar.
Peniaga langgar garis panduan Menu Rakyat akan disingkir
Sementara itu, peniaga makanan yang mengikuti Program Menu Rakyat 1Malaysia diingatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka disingkirkan daripada program itu.
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri Datuk Ghazale Mohamad berkata, antara syarat ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ialah menyediakan makanan berkualiti pada harga RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari.
"Perlu mengikuti program sekurang-kurangnya selama enam bulan, seandainya di dalam tempoh tersebut mereka gagal mematuhi atau melanggari syarat-syarat yang ditetapkan, penglibatan mereka dalam program tersebut akan dibatalkan,” katanya ketika melancarkan Program Menu 1Malaysia peringkat negeri di Restoran Berkat, Plaza Pandan Malim, Melaka, hari ini.
Ghazale berkata pengguna dinasihatkan membuat aduan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Melaka sekiranya mendapati terdapat perlanggaran syarat atau peraturan dilakukan oleh peniaga yang mengikuti program tersebut.
Beliau berkata pemantauan akan dilakukan oleh pegawai PPDNKK dari semasa ke semasa bagi menerangkan konsep program tersebut kepada para peniaga dan pengguna agar dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Katanya sehingga kini sebanyak 40 buah restoran dan kafetaria di Melaka telah menyertai program tersebut sejak ia dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 7 Julai lalu.
"Kita lihat sambutan daripada pelanggan amat memuaskan dan ini adalah antara usaha kerajaan untuk menyediakan menu makanan yang berharga patut dan bersesuaian dengan kualitinya untuk dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata PPDNKK Melaka menyasarkan penyertaan sebanyak 80 premis restoran dan kafetaria dalam Program Menu Rakyat 1Malaysia di seluruh negeri sehingga penghujung tahun ini.
Katanya peniaga yang berminat untuk menyertai program tersebut diminta berhubung dengan PPDNKK Melaka di talian 06-2345822, 06-2345825 atau 1-800-886-800.
No comments:
Post a Comment