My Add

Saturday 26 November 2011

Imigresen serbu warga Afrika di Nilai

SEREMBAN, SABTU, 26 November, 2011:
OPERASI pihak berkuasa terhadap warga Afrika diteruskan di negeri ini apabila seramai 100 orang diperiksa Imigresen di sebuah apartmen berhampiran sebuah kolej swasta di Nilai, dekat sini malam semalam.

Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang bermula pukul 10 malam itu turut memeriksa 60 rakyat dari negara lain.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, operasi itu bertujuan mengesan warga Afrika yang menyalahgunakan pas pelajar, tinggal lebih masa selain penglibatan dengan dadah.

Katanya, selain Imigresen, operasi itu turut melibatkan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Daripada jumlah itu, enam lelaki dan seorang wanita Afrika ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.

"Tiga lelaki warga Nigeria dan seorang warga Maldives pula ditahan kerana positif dadah. Operasi itu dilakukan hasil risikan sejak beberapa hari lalu," katanya di sini selepas operasi malam tadi.

Menurutnya, ketika serbuan, terdapat beberapa warga Afrika melarikan diri selain ada yang cuba bersembunyi di dalam tangki air.

Faizal Fazri turut memberitahu, daripada jumlah warga Afrika diperiksa, 65 orang terdiri daripada lelaki manakala bakinya wanita yang berusia 20 hingga 30 tahun.

Katanya, semua yang ditahan itu akan dihantar ke Depot Tahanan Lenggeng dekat sini sebelum didakwa atau diusir pulang ke negara asal.

Kes terbabit disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment