My Add

Wednesday 2 November 2011

Isu konsert Elton John: DAP, Pas ibarat AS-Rusia

RABU, 02 November, 2011: Kerjasama antara DAP dengan Pas dalam pakatan pembangkang boleh disamakan dengan permuafakatan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Rusia sewaktu Perang Dunia Kedua bagi menentang Kuasa Paksi Jerman, Itali dan Jepun.

Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, analogi itu dibuat berdasarkan perbezaan nilai DAP dengan Pas yang tidak akan bersesuaian atau mengambil masa lama untuk serasi.

Katanya, DAP yang memperjuangkan nilai sosialisme demokrasi akan sentiasa menghadapi pertembungan dengan nilai Islam yang menjadi dasar Pas sejak penubuhan parti berkenaan.

"Mereka macam Rusia dan AS yang bergabung bagi menghadapi Kuasa Paksi walaupun AS mendokong demokrasi dan Rusia memperjuangkan komunisme.

"DAP dan Pas hendak menentang Barisan Nasional (BN), tetapi apabila berbeza ideologi, berlakulah perang dingin dan dunia tidak aman sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. 

Beliau mengulas tindakan Dewan Pemuda Pas Pahang membantah kehadiran penyanyi gayantarabangsa, Elton John yang dijadual membuat persembahan di Genting Highlands, 22 November ini.

Selepas kenyataan itu, Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw seperti dipetik laporan portal The Mole Khamis lalu meminta Pas lebih fleksibel dan tidak memaksa nilai-nilainya ke atas pihak lain.

Mohd. Noor Yazid menambah, perbezaaan pendapat serta nilai di antara Pas dengan DAP akan terus berlaku memandangkan kedua-duanya mempunyai kekuatan setara dan tiada pihak yang jauh lebih dominan dalam penguasaan kerusi Parlimen di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nashrudin Hassan enggan mengulas mengenai pendirian sebenar parti itu terhadap kehadiran Elton John, mahupun mengenai 'teguran' DAP berkenaan.

"Saya minta anda tanya dahulu kepada para pemimpin Pas Pusat," katanya.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agungbya, Datuk Mustafa Ali juga enggan mengulas mengenai isu tersebut.

Pemuda Pas desak kerajaan halang konsert tersebut

Tetapi Dewan Pemuda Pas pula mendesak kerajaan supaya menghalang konsert tersebut.

Timbalan Ketuanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, berkata, ia penting bagi mengelak penularan masuk budaya gay ke negara ini melalui konsert tersebut.

Pada masa sama, beliau pertikai kritikan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta Pemuda Pas tidak meniru Taliban dalam usaha membantah ikon gay dunia itu.

“Saya sokong kerajaan mesti menghalangnya. Pemuda Pas bukan hanya mahu menghalang anak muda Islam daripada pergi ke Gentinng.

"Itu kecil la Bro Asri. Pemuda Pas mahu menghalang kerajaan daripada membawa masuk budaya gay terlaknat itu. Ini baru pemuda Pas!,” katanya dalam blog http://nikabduh.wordpress.com/ yang disiarkan semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan pendirian Dewan Pemuda Pas Pahang yang juga membantah penganjuran konsert tersebut.

Menurut ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim al-Hafiz ia bukan sahaja tidak sesuai dengan budaya negara ini, malah ia boleh disifatkan sebagai program maksiat.

Mohd Asri ketika mengulas desakan Pemuda Pas itu, sebelum ini meminta sayap Pemuda Pas jangan meniru Taliban sebaliknya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.

Sebelum ini, Pemuda Pas mengecam kenyataan pihak yang menyamakan mereka dengan Taliban berhubung desakan menghalang konsert rock itu atas alasan penyanyi itu adalah gay.

Dalam pada itu Nik Abduh menasihatkan supaya bekas Mufti Perlis itu lebih cermat dalam membuat kritikan.

“Mengkritik itu bagus buat orang berilmu. Kritiklah kerana semua orang tahu anda ahli dalam mengkritik. Tetapi bila melabel, khususnya buat kawan, pilihlah label yang tidak menyakitkan. Saya fikir anda menghafal surah al-Hujurat.

“Jangan fikir orang Taliban tak marah bila anda menghina mereka,’’ ujarnya.

Mengulas lanjut Nik Abduh berkata, mengkritik adalah kebebasan dan hak orang berilmu manakala membebel pula adalah senjata orang perempuan.

“Dari kecil ibu saya mendidik saya dengan membebel. Ayah hanya mendehem. Bebel dan dehem membina saya dan kita semua. Jika Asri mahu mengkritik, itu haknya yang disukai ahli ilmu. Tetapi Asri kadang-kadang membebel.

“Geli geman juga saya mahu serius menasihatinya agar elakkan membebel. Jangan diambil senjata perempuan. Tak manis orang lelaki digelar pembebel,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment