My Add

Wednesday, 2 November 2011

UMNO bukan dalang demonstrasi

RABU, 02 November, 2011: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang kesal dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng UMNO terbabit dengan tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang mengdakan perarakan sebagai membantah kepimpinannya semalam.

Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) berkata, dakwaan itu ibarat 'cakap ikut suka hati' kerana Ketua Menteri tidak mempunyai sebarang bukti, lapor Bernama.

Katanya, Guan Eng telah membuat tuduhan kononnya UMNO terlibat dalam perarakan itu sedangkan ia dianjurkan oleh sebuah NGO dikenali sebagai Pertiga (Pertubuhan Islam Gabungan Amal).

Hilmi menjawab celahan Guan Eng ketika Salleh Man (Pas-Permatang Pasir) sedang membahas usul Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

Polis menahan lima individu semalam, kerana menyertai perarakan di sekitar bandar raya George Town, sebagai membantah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.

Kira-kira 200 penunggang motosikal itu memulakan protes pada 12 tengah dengan melalui Jalan Penang sebelum ke Komtar dan Dewan Undangan Negeri.

Mereka memasang kain rentang menggesa pembinaan litar lumba untuk anak muda berlumba motosikal serta memakai kemeja T kuning bertuliskan perkataan Selamatkan Pulau Pinang, LGE Rasis.

Guan Eng berkata, beliau kini "mula gentar apabila golongan mat rempit" juga menentang kerajaan negeri dan menyifatkan perbuatan mereka itu didalangi oleh UMNO kerana terdapat perkataan LGE Rasis.

Datuk Ariff Shah Omar Shah (BN-Seberang Jaya) pula berkata Guan Eng tidak perlu khuatir dan bersangka buruk terhadap golongan anak-anak muda itu sebaliknya harus berusaha mendekati dan memenuhi permintaan mereka.

"Mereka hanya meminta disediakan trek lumba, jadi kerajaan negeri haruslah berusaha supaya mereka berpeluang menjadi pelumba profesional," katanya.

Sementara itu, seorang aktivitis sosial yang kecewa dengan Guan Eng, bertindak berdiri dengan memegang kain rentang di depan bangunan Dewan Undangan Negeri sema;am.

Tindakan Hii Tiong Huat, 60, yang berdiri dengan memegang kain rentang bertulis 'Tolak YB terima dua gaji ADUN dan MP; YB perlu full time' menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Hii menggesa Guan Eng dan beberapa ADUN yang juga menjadi Ahli Parlimen agar menumpukan tugas mereka sebagai ADUN dan tidak tamak dengan memegang jawatan berganda.

"Jangan tamak pegang sampai dua atau tiga jawatan dan pada masa sama menikmati faedah serta gaji yang banyak sedangkan gagal berkhidmat dengan berkesan," katanya kepada pemberita.

Hii. yang berasal dari Sarawak berkata, Guan Eng tidak seharusnya memegang terlalu banyak portfolio dalam kerajaan negeri kerana ia menjejaskan jentera pentadbiran kerajaan.

MCA, MIC harap pemansuhan PPSMI dikaji semula

Di Kuala Lumpur: Utusan Malaysia melaporkan dua parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC berharap kerajaan mengkaji semula keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) demi kebaikan semua pihak.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, pendirian MCA sangat jelas iaitu pihak-pihak yang berkepentingan seperti ibu bapa dan pelajar perlu diberikan pilihan sama ada mahu meneruskan dasar tersebut atau sebaliknya.

Katanya, parti itu juga berpendapat pelajar yang telah mengikuti PPSMI sebelum ini perlu meneruskannya dan tidak perlu diganggu bagi mengelak masalah lain.

"Selain itu, pendirian kami berhubung kepentingan bahasa Inggeris pada masa kini masih kekal iaitu perlunya peningkatan dalam penguasaan bahasa berkenaan.

''Kontroversi ini telah membuktikan bahawa tindakan segera perlu diambil untuk memastikan kecekapan pelajar dalam bahasa Inggeris meningkat.

"Justeru itu, kami berharap Kementerian Pelajaran dapat memperkenalkan subjek kesusasteraan Inggeris sebagai subjek wajib di setiap sekolah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment