SELASA, 1 November, 2011: Pihak pembelaan hari ini mengakhiri kes terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang diperintah membela diri atas tuduhan melakukan rasuah berhubung pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, empat tahun lalu.
Khir Toyo |
Seramai lima saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan itu yang bermula 6 Jun lalu
Mohtaruddin kemudian menetapkan 19 Disember ini untuk mendengar hujah pembelaan dan seterusnya menetapkan 23 Disember ini sebagai tarikh keputusan.
Rumah banglo Khir Toyo di Seksyen 7 Shah Alam |
Pada 8 Ogos lalu, Mohtarudin memerintahkan Dr Mohamad Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.
Dr Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Dr Mohamad Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
Nilai pasaran hartanah: Jurunilai nafi dipengaruhi Dr Khir
Sementara itu, seorang jurunilai profesional berkata, Dr. Mohamad Khir Toyo tidak mempengaruhi proses penilaian yang dibuat syarikatnya terhadap dua lot tanah termasuk sebuah rumah banglo milik bekas Menteri Besar Selangor itu di Jalan Suasa 7/1L di sini pada Mei 2007.
Choy Yue Kwong, pengarah urusan syarikat penilai profesional Rahim & Co, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa penilaiannya pada 14 Mei 2007 mendapati hartanah itu bernilai RM3.5 juta sebagaimana yang ditaksirkan berdasarkan kaedah perbandingan dengan mengambil kira harga hartanah di kawasan setempat.
Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, beliau berkata, Dr. Mohamad Khir tidak membayangkan apa-apa mengenai nilai harga RM3.5 juta ketika pertemuannya dengan beliau di kediaman rasminya di Seksyen 7 di sini sebelum penilaian dilakukan pada hari berkenaan (14 Mei 2007).
No comments:
Post a Comment