SELASA, 1 November, 2011: Pekerja Indonesia di Malaysia mengirim pulang ke tanah air mereka wang berjumlah AS$1.7 bilion di suku ketiga tahun ini (2011), demikian menurut catatan bank pusat, Bank Indonesia (BI).
Bernama melaporkan dari Jakarta, angka itu mewakili lebih daripada separuh jumlah wang sebanyak AS$2.91 bilion yang dikirim pulang oleh tenaga kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di kawasan Asia Pasifik.
Jurucakap BI, Difi Johansyah berkata, kiriman wang oleh pekerja Indonesia di luar negara ke tanah air mencapai AS$5.05 bilion atau kira-kira Rp43 trilion sepanjang suku ketiga tahun ini dan TKI yang bekerja di kawasan Asia mengirim pulang paling banyak wang.
"TKI di kawasan Asia Pasifik mengirim wang ke Indonesia mencapai AS$2.91 bilion. Terbesar dibandingkan kawasan lain,” kata Difi seperti yang dipetik detikfinance di portal berita detik.com di sini, Selasa.
Beliau berkata, TKI yang bekerja di kawasan Timur Tengah dan Afrika mengirim pulang wang berjumlah AS$2.01 bilion dan daripada jumlah itu mereka yang bekerja di Arab Saudi menyumbang jumlah paling besar iaitu sebanyak AS$1.68 bilion. - Bernama
Kursus Bahasa Melayu untuk amah
Dalam pada itu, kerajaan bercadang mewajibkan semua pembantu rumah asing kecuali dari Indonesia mengikuti kursus bahasa Melayu selama enam bulan sebelum mereka dibenar bekerja di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, langkah itu penting kerana kebanyakan masalah berpunca daripada kurangnya keberkesanan komunikasi dan pemahaman antara majikan dan pembantu rumah.
Keberkesanan komunikasi mampu mengeratkan hubungan baik selain mengelakkan permasalahan antara majikan dan pembantu rumah, katanya pada sidang media selepas menyampaikan Diploma dan Sijil kepada 6,835 penuntut pada Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
No comments:
Post a Comment