My Add

Friday 4 November 2011

Kerajaan pastikan dasar baru tidak membebankan: Muhyiddin

MUHYIDDIN diiringi oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Ir. Wee Ka Siong (kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar (kanan) ketika hadir di Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai pemansuhan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Putrajaya, petang ini. 

JUMAAT, 04 November, 2011: Keputusan kerajaan berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hari ini, membuktikan kerajaan responsif dan memastikan dasar baru yang hendak dilaksanakan tidak membebankan dan menjejaskan pembelajaran di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata disebabkan itu bagi pelajar yang sudah ada dalam sistem PPSMI, mereka dibenarkan meneruskannya sehingga habis.

"Sementara pelajar yang baru masuk sekolah pula akan mengikuti sistem baru iaitu Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). 

"Jadi saya haraplah (keputusan mengenai PPSMI) diterima baik oleh semua peringkat masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mengenai pelaksanaan "Soft Landing" PPSMI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya. 

Bernama melaporkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pekeliling baru akan dikeluarkan secepat mungkin kerana pekeliling asal mungkin tidak jelas serta sedikit mengelirukan terutamanya berhubung pelajar Tingkatan Satu tahun depan perlu menggunakan Bahasa Malaysia (BM) sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran itu.

Mengenai buku teks sekolah pula, beliau berkata ia akan dibekalkan dalam BM dan juga Bahasa Inggeris (BI), jadi terpulang kepada pihak sekolah untuk memilih. 

"Kertas peperiksaan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat dalam dwibahasa dan pelajar bebas untuk memilih sama ada hendak menjawab dalam BM atau BI," katanya.

Mengenai pemilihan pengajaran dan pembelajaran Saind dan Matematik sama ada dalam BM atau BI ditentukan pihak sekolah atau ibu bapa, Muhyiddin berkata: "Sekarang pun sekolah sudah membuat keputusan sendiri. 

"Semasa kita kata PPSMI dibuat dalam BI apabila sekolah tengok ia tidak boleh dilaksanakan, mereka gunakan BM, jadi sekolah teruskanlah," katanya dan menambah sekolah lebih arif mengenainya.

Pemansuhan PPSMI sekolah rendah 2016, sekolah menengah 2021

Kabinet semalam memutuskan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kekal dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti dituntut sesetengah pihak.

Muhyiddin, berkata PPSMI di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah bagi kedua-dua mata pelajaran itu pada 2021.

"Kabinet juga memutuskan untuk membenarkan murid kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.

"Ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan," katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin mengadakan taklimat tertutup dengan Pegawai Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

No comments:

Post a Comment