My Add

Friday 4 November 2011

“Saya telah berbincang dengan PM,” kata Muhyiddin

JUMAAT, 04 November, 2011: Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan untuk memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Muhyiddin, yang merupakan Menteri Pelajaran berkata, keputusan pemansuhan PPSMI yang diambil sebelum ini merupakan keputusan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri.

"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri (mengenai polemik PPSMI) sebelum beliau berangkat ke Mekah.

"Saya tidak ada kuasa (memansuhkan PPSMI). Keputusan juga tidak dibuat oleh Kementerian Pelajaran sahaja, lebih-lebih lagi ia satu polemik dan banyak pihak terlibat,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya, semalam.

Menurut Bernama, Muhyiddin diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini bahawa Perdana Menteri boleh mengubah keputusan Muhyiddin berhubung pemansuhan PPSMI.

Dr Mahathir telah memperkenalkan PPSMI pada tahun 2003.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Perdana Menteri turut mengemukakan pandangan-pandangan untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

"Beliau (Perdana Menteri) bertanya sama ada kandungan Kesusasteraan Inggeris dimasukkan lebih daripada apa yang ada sekarang,” katanya.

Mengenai kenyataan Tun Mahathir yang berharap rakyat tidak marah berikutan keputusan pemansuhan PPSMI dan terus menyokong Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata: “Saya pun berharap begitu”.

Beliau berkata ibu bapa tidak perlu risau kerana anak-anak yang terlibat dalam PPSMI tidak terjejas dan tiada apa-apa yang tergendala berikutan peralihan penggunaan bahasa dan ia tidak membangkitkan masalah kepada rakyat.

"Saya fikir Tun (Mahathir) pun faham. Dia penyokong kuat BN. Kita buat keputusan bukan kerana kita suka-suka membuat keputusan tetapi saya percaya rakyat sedia terima (keputusan), terutamanya ibu bapa di mana lebih 5.3 juta pelajar terlibat dalam sistem sekarang,” katanya. 

No comments:

Post a Comment