My Add

Friday 25 November 2011

Ketua Polis Johor nafi dakwaan Azmin Ali

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 25 November, 2011: 
POLIS Johor hari ini menafikan dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, bahawa permit ceramah parti itu di negeri ini dibatalkan pada saat akhir. 

Sebaliknya, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya tidak pernah meluluskan permohonan untuk mengadakan ceramah yang dibuat PKR dua hari lalu.

"Isu pembatalan tidak timbul kerana polis tidak pernah meluluskan permohonan itu," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas kenyataan Azmin yang memberitahu pemberita selepas perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan di sini hari ini, bahawa polis membatalkan permit ceramah PKR di beberapa kawasan pada saat akhir malam tadi. 

Mohd Mokhtar turut mengingatkan pemimpin parti politik itu agar tidak mencabar undang-undang dengan mengadakan ceramah tanpa kelulusan pihak berkuasa. 

"Kita kena hormat undang-undang...kalau tidak hormat, itu juga mencabar polis," katanya ketika ditanya mengenai desas-desus pemimpin PKR tetap mahu mengadakan ceramah tersebut. 

Beliau berkata, jika permohonan ditolak, pihak berkenaan masih boleh mengemukakan rayuan kepada ketua polis negeri. 

Mengulas perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir dengan meningkatkan logistik serta penugasan anggota. 

"Kita bukan sahaja menempatkan anggota di pusat pemindahan banjir malah menempatkan anggota rondaan di rumah yang ditinggalkan mangsa banjir. Seperti tahun-tahun sebelum ini, polis juga akan menyediakan kaunter di pusat pemindahan bagi memudahkan orang ramai membuat laporan," katanya. 

Mohd Mokhtar turut menasihati orang ramai, khususnya yang tinggal di kawasan rendah supaya segera berpindah ke tempat selamat apabila diarahkan pihak berkuasa. - BERNAMA 



No comments:

Post a Comment