My Add

Friday 25 November 2011

Taib Mahmud mahu jumpa pemimpin tertinggi SPDP

KUCHING: JUMAAT, 25 November, 2011:
KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata beliau mahu berjumpa dengan pemimpin tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) terlebih dahulu sebelum memberi sebarang komen berhubung krisis yang melanda parti itu. 

"Tunggu dulu (komen), saya perlu berjumpa dengan pemimpin tertinggi dalam SPDP," kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu kepada pemberita selepas majlis Pertandingan Akhir Bintang Kecil 2011 Kebangsaan di Auditorium P Ramlee di sini hari ini.

Naib Presiden SPDP, Datuk Sylvester Entri, dipecat daripada parti itu kerana kesalahan menentang parti.

Perkara itu diumumkan Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP di ibu pejabat parti itu hari ini. 

Empat pemimpin yang menyokong Entri ialah Naib Presiden Kanan dan ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian; Naib Presiden dan Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe; Ketua Penerangan yang juga ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang; dan Ahli majlis Tertinggi dan ADUN Bekenu, Rosey Yunus, dianggap tidak lagi memegang jawatan parti. 

Mesyuarat itu juga menetapkan bahawa Dr Tiki tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding di Mas Gading kerana beliau bukan daripada kalangan calon "boleh menang".  

SPDP pecat ADUN Marudi, tidak akan calonkan Tiki Lafe

Sementara itu SPDP memecat keahlian Naib Presidennya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran, dan tidak akan mencalonkan semula seorang lagi Naib Presidennya, yang juga Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang. 

Tiga lagi ADUN parti itu iaitu Naib Presiden Kanan, Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru) serta dua anggota Majlis Tertinggi (MT), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) digugurkan jawatan dalam parti, tetapi masih anggota parti.

Mereka adalah 'Kumpulan Lima' yang hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pucuk kepemimpinan parti itu dan dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin SPDP, dengan nasib mereka diputus serta diumumkan dalam Mesyuarat MT SPDP di ibu pejabat parti itu di sini.

Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom, mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat lebih empat jam parti itu yang dihadiri 26 daripada 33 ahli MT. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment