My Add

Friday 25 November 2011

Muhyiddin tolak andaian pembangkang

Muhyiddin Yassin
BANDAR BAHARU, JUMAAT, 25 November, 2011: TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak andaian segelintir pemimpin pembangkang yang menganggap pembentangan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 sebagai usaha kerajaan untuk menyekat kebebasan rakyat berhimpun.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang tidak berpuas hati terhadap rang undang-undang itu ekoran beberapa perlakuan mereka menyertai demonstrasi jalanan sebelum ini tidak disenangi rakyat.

"Contohnya dengan adanya rang-rang undang bila diluluskan, maka demonstrasi jalanan tidak dibenarkan.

"Bila hendak suarakan sesuatu maka, perlu secara tertib, ikut peraturan kerana ini sudah disediakan dan ia satu ruang yang luas untuk suarakan pendapat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Penyerahan Simbolik Wang RM100 kepada sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT), sekolah agama (SA) serta cek pinjaman Tekun Parlimen Kulim Bandar Baharu di Dataran Serdang di sini semalam.

Muhyiddin mengulas mengenai Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentang serentak dengan rang undang-undang lain di Dewan Rakyat kelmarin.

Sementara itu, mengenai langkah kerajaan meminda Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971, Muhyiddin berkata, ia menunjukkan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf kematangan generasi muda di universiti.

"Kalau ikut pemikiran lama kita anggap ini sebagai satu halangan dan sekatan kerana kita tak mahu mereka terlibat dengan politik dan mengganggu proses pembelajaran di universiti.

"Ini satu ruang baru yang diberikan, tetapi jika pelajar itu tak minat politik maka undang-undang itu tiada kesan kepada mereka," jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Dataran Serdang, Muhyiddin berkata, semua pihak termasuk pembangkang harus bersyukur dengan pemberian bantuan kerajaan walaupun bukan dalam jumlah seperti yang diharapkan.

Katanya, sumbangan daripada kerajaan seperti wang bantuan sekolah RM100 dan bantuan isi rumah RM500 sebenarnya bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.

Katanya, pemberian tersebut juga tidak mempunyai niat terlindung sebaliknya bertujuan memastikan nasib rakyat terbela setelah tertekan dengan masalah peningkatan kos hidup sejak kebelakangan ini.

"Pembangkang kata RM100 bantuan sekolah yang kita berikan sikit sangat, celah gigi saja. Bantuan RM500 untuk isi rumah mereka juga dipertikaikan, kata tak sampai sebulan habis dibelanjakan.

"Pokoknya dengan sedikit pemberian daripada kerajaan, kita telah selesaikan sekurang-kurangnya bebanan yang ditanggung beberapa keluarga. Jadi, harus bersyukurlah," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment