My Add

Friday 25 November 2011

Pas lebih pentingkan ekonomi berbanding Islam – TPM

MUHYIDDIN menyampaikan cek replika untuk bantuan khas persekolahan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Daerah Kulim Bandar Baharu, Nor Asiah Abdul Ghalim pada majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Dataran Serdang, Bandar Baharu, semalam.

BANDAR BAHARU, JUMAAT, 2 November, 2011: TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kerajaan Pas Kedah kerana lebih mementingkan hasil ekonomi berbanding pembangunan syiar Islam apabila mahu merobohkan Madrasah Salihiah di Jalan Kanchut, Alor Setar.

Beliau menegaskan, rakyat mempersoalkan rancangan pembinaan itu kerana ia amat bertentangan dengan apa yang selalu dilaung-laungkan oleh Pas untuk memperjuangkan Islam dan umatnya.

“Apa yang biasa dikatakan mereka (Pas) ialah berjuang untuk Islam dan masyarakat Islam sedangkan institusi dan simbol yang kita bangunkan untuk bela masyarakat Islam terabai, tidak dihormati, apatah lagi kalau ia dirobohkan, maka ini menghapuskan sejarah 100 tahun yang sudah lama tertubuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Penyerahan Simbolik Wang RM100 kepada sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT), sekolah agama (SA) serta cek pinjaman Tekun Parlimen Kulim Bandar Baharu di Dataran Serdang di sini, semalam.

Muhyiddin mengulas mengenai langkah kerajaan negeri mengeluarkan notis mengarahkan Madrasah Salihiah yang juga sebuah surau dikosongkan bagi membolehkan ia diruntuhkan untuk memberi laluan membina sebuah kompleks beli-belah di Alor Setar.

Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) amat mementingkan soal pembangunan pendidikan dan syiar Islam, namun Pas melakukan perkara yang amat bertentangan sekali.

Sementara itu, berucap pada majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan penyerahan simbolik wang RM100 kepada sekolah-sekolah sekitar Parlimen Kulim/Bandar Baharu di Dataran Serdang, Muhyiddin berkata, kerajaan kini menumpukan usaha memperkasakan sistem pendidikan sekolah harian berbanding menambah bilangan sekolah berasrama penuh (SBP).

Katanya, langkah berkenaan diambil bagi memastikan kualiti dan kecemerlangan sekolah harian biasa dapat ditingkatkan sejajar dengan keperluan pendidikan negara.

“Sebenarnya dasar kita sekarang adalah tidak membangunkan SBP dalam jumlah yang banyak. Ini kerana kita hendak menumpukan kepada sistem pendidikan sekolah harian sedia ada.

“Orang kata SBP ini seolah-olah sekolah elit. Namun, sekolah lain pun elit, banyak Sekolah Berprestij Tinggi (SBT) yang diiktiraf kerajaan sekarang terdiri daripada sekolah biasa.

“Maknanya, sekolah harian biasa juga ada potensi untuk dipertingkatkan agar ia menjadi sekolah pilihan semua (school of choice),” katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment