My Add

Thursday 24 November 2011

Najib bentang usul mansuh tiga proklamasi darurat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 November, 2011: 
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini membentangkan usul memansuhkan tiga Proklamasi Darurat pada persidangan Dewan Rakyat. 

Tiga proklamasi yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah Proklamasi Darurat 1966, Proklamasi Darurat 1969 dan Proklamasi Darurat 1977.
Proklamasi Darurat 1969 dikeluarkan pada 15 Mei 1969 berikutan rusuhan kaum pada 13 Mei tahun itu.

Sementara itu, Proklamasi Darurat 1966 dan Proklamasi Darurat 1977 yang masing-masing dikeluarkan pada 14 September 1966 di Sarawak dan 8 Nov 1977 di Kelantan bertujuan menyelesaikan pertikaian politik yang berlaku di kedua-dua negeri berkenaan. 

Perdana Menteri, semasa membentangkan usul itu, berkata langkah memansuhkan proklamasi darurat itu dilakukan berikutan keadaan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam pada masa proklamasi itu berkuatkuasa, tidak lagi wujud pada masa ini. 

Katanya, apa-apa ordinan yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat berkenaan dan undang-undang yang dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan semasa Proklamasi Darurat itu akan terhenti berkuatkuasa selepas tamat tempoh enam bulan dari tarikh Proklamasi Darurat itu dibatalkan. 

Beliau juga menyifatkan pembatalan perundangan itu sebagai penting lagi bersejarah, dan sama berani dengan langkah-langkah pemimpin terdahulu untuk mengisytiharkan darurat. 

"Pembatalan Proklamasi Darurat tersebut itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa bersedia untuk melakukan pembaharuan dalam undang-undang negara supaya selaras dengan kehendak semasa dan mengukuhkan lagi usaha kerajaan untuk memastikan negara ini sentiasa maju ke hadapan. 

"Tindakan ini juga diambil kerana kita percaya dengan kematangan rakyat Malaysia," katanya. 

Katanya, langkah pemansuhan proklamasi berkenaan ialah fasa kedua terhadap Program Transformasi Politik (PTP) seperti yang diumumkan sempena sambutan Hari Malaysia September lalu. 

Fasa pertama membabitkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933. 

"Justeru, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang yang perlu pada Mac tahun 2012," katanya. 

Dalam ucapannya, Perdana Menteri sempat membidas pembangkang yang sanggup menjanjikan apa sahaja bagi mendapatkan sokongan rakyat. 

"Ujian sebenar bagi sesebuah kerajaan adalah melakukan sesuatu apabila ia sedang berkuasa berbuat demikian. Lantas, jika masih belum membentuk kerajaan, maka kita dapati pihak tertentu boleh saja secara sembrono menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala Bima Sakti. 

"Barangkali juga mereka mengatakan, 'cubalah dahulu', namun saya yakin dan saya pasti bahawa rakyat Malaysia tidak akan sekali-kali tega memperjudikan masa depan mereka secara melulu, sebaliknya akan terus memberikan kepercayaan mereka kepada barisan kita, yakni 'the tried and tested' (dicuba dan diuji)," katanya. 
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment