My Add

Friday 4 November 2011

Parlimen Kuantan: MB serah pada PM tentu parti bertanding

JUMAAT, 4 November, 2011: Badan Perhubungan UMNO negeri menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan parti komponen yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuantan bagi merampas kembali kerusi itu daripada pembangkang.

Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau sebenarnya tidak gemar untuk mengganggu formula yang telah ditetapkan pada pilihan raya umum lalu tetapi jika dengan mengubahnya boleh membawa kemenangan, maka ia perlu dilakukan.

“Kuantan pada asalnya ditandingi UMNO, kemudian baru MCA. Kita ikut Perdana Menteri. Saya sendiri tak suka nak ganggu kuota.

“Pada saya kalau berpandu pada kuota, kita boleh menang, jangan usik. Tetapi kalau dengan mengubah kuota itu kita boleh menang, maka kita kena ubah. Itu sahaja pendirian saya,'' katanya, lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Aman Palestin oleh Yayasan Pahang di Kuantan, hari ini.

Sebelum ini Pengerusi MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker bersedia untuk menukar kerusi Parlimen Kuantan dengan UMNO tetapi mereka mendapat kerusi Indera Mahkota sebagai ganti.

Sementara itu, Adnan berkata, apa yang pasti kerusi Parlimen Indera Mahkota akan terus ditandingi UMNO dan peluang untuk merampasnya dilihat cerah.

Katanya, bagaimanapun untuk kerusi Parlimen Kuantan, ia akan menyaksikan satu tentangan sengit berikutan senario politik semasa termasuk isu pembinaan kilang memproses nadir bumi, Lynas.

“Daripada dua kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang di Pahang, Indera Mahkota cerah tetapi Kuantan akan menyaksikan persaingan sengit.

“Kuantan kita kena lawan lebih sikit sebab isu pembinaan kilang memproses nadir bumi Lynas yang mendapat bantahan penduduk Cina yang mendakwa ia bahaya sedangkan tidak,'' jelasnya.

Menurut Adnan, kerusi Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan perlu dimenangi semula BN kerana secara umumnya peluang untuk berbuat demikian lebih cerah kerana ia ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Daripada dua parti pembangkang lain iaitu DAP dan Pas, peluang dengan PKR lebih cerah. Jadi daripada 31 kerusi PKR yang menang masa pilihan raya lalu, dua adalah di negeri ini iaitu Kuantan dan Indera Mahkota, maka kita pastikan ia kembali kepada kita dan ia bukan mustahil.

“Apa pun kita sedang bersiap menuju pilihan raya. Bila pilihan raya kita tak tahu, macam mati juga, yang pasti ia berlaku, maka kita kena bersiap. Ini termasuk nak menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita kalah seperti Semantan dan Beserah,'' ujarnya. 

No comments:

Post a Comment