My Add

Saturday, 26 November 2011

Pemuda, Puteri perlu bertindak ikut citarasa generasi muda

PUTRAJAYA, SABTU, 26 November, 2011:
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO masih belum berupaya secara berkesan untuk bertindak mengikut citarasa generasi muda.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kedua-dua sayap parti itu perlu memberi lebih tumpuan terhadap usaha mempertingkatkan peranan dan tanggungjawab bagi memantapkan lagi peranan generasi muda di dalam parti itu.

"Saya tidak menafikan memang banyak program dan aktiviti yang mereka laksanakan tetapi sama ada itu dapat menyentuh perasaan dan jiwa generasi muda... adakah ia sesuatu yang memberi faedah kepada mereka?.

"Sebab itu, bagi saya tanggungjawab dan peranan Pemuda dan Puteri dalam soal ini harus diberi tumpuan lebih dalam tempoh bulan-bulan yang mendatang,” katanya dalam sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada minggu depan, di sini semalam

Perhimpunan Agung UMNO ke-62 akan bermula Selasa ini dan berakhir 3 Dis.

Muhyiddin berharap generasi muda di dalam UMNO mengambil kesempatan daripada Perhimpunan Agung UMNO kali ini untuk mengetengahkan isu dan perbahasan berdasarkan kepada aspirasi generasi baru atau “Generasi Y”, memandangkan hampir 40 peratus daripada pengundi yang ada di negara ini adalah daripada kelompok itu.

"Jadi mereka harus bahaskan kepentingan dan aspirasi generasi muda terutamanya dalam soal ketelusan, akauntabiliti, sama ada sesuatu yang dilakukan dapat memberi faedah kepada generasi muda, ini semua haruslah tercerna dalam mutu perbahasan yang akan mereka sampaikan dalam perhimpunan,” katanya.

Muhyiddin berkata, tidak semua golongan muda dan profesional cenderung untuk menyokong parti pembangkang, tetapi tidak menolak wujud sebilangan kecil generasi muda Melayu yang lebih liberal dan lantang bersuara, menolak agenda yang disifatkan ‘terlampau Melayu dan rasis’.

Katanya golongan itu tidak harus diketepikan, sebaliknya mereka perlu diberi kebebasan untuk bersuara dan menyatakan pandangan mereka. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment