My Add

Saturday, 26 November 2011

Seksyen 15 AUKU hangat didebat 211 jam tanpa henti

Pendebat dari Fakulti Pendidikan (TESL) mewakili pihak pencadang meluahkan hujah mereka pada Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam di UiTM, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

SHAH ALAM, SABTU, 25 November, 2011:
CADANGAN pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas menyertai parti politik, turut hangat didebat pada Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) di Anjung Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Pendebat dari Fakulti Undang-undang UiTM pada sidang enam menyentuh isu pro dan kontra usul bertajuk Perlembagaan Kita Masih Dijunjung dalam suasana yang cukup demokratik, sejajar dengan format debat yang membenarkan semua 'Yang Berhormat' daripada wakil kerajaan dan pembangkang membentangkan hujah mereka.

Pihak pencadang yang diwakili 'Perdana Menteri', Ahmad Solehin Abd. Ghani membuka gelanggang dengan menekankan bahawa faktor keselamatan awam masih menjadi pertimbangan pokok sebelum sebarang keputusan boleh dibuat berhubung pemansuhan sesuatu undang-undang sedia ada.

Dengan mengemukakan beberapa contoh, antaranya cadangan pemansuhan Seksyen 15 AUKU, Ahmad Solehin memberitahu, jika ada keperluan untuk pemansuhan, maka hal itu tidak bermakna Perlembagaan negara sudah hilang signifikan dan tidak lagi dijunjung.

Sementara itu, 'Menteri Pertahanan', Ahmad Izzuddin Tadzaruddin pula membidas 'pembangkang' yang mencampuradukkan Perlembagaan Persekutuan dengan Enakmen Undang-undang Negeri berhubung Hal Ehwal Agama Islam sehingga mengelirukan rakyat.

Ketua Pembangkang, Muhammad Rahimi Raduan berkata, memberi contoh kes empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai bukti Perlembagaan Persekutuan di negara ini sudah tidak dihormati lagi, berdasarkan keputusan panel penghakiman yang memihak kepada pelajar dengan keputusan majoriti 2-1.

Muhafiy Mukhtar sebagai Timbalan Ketua Pembangkang turut mengemukakan contoh Perlembagaan sudah tidak dihormati dengan mengemukakan hujah kelonggaran Enakmen Perlembagaan Agama Islam yang melarang orang Islam mengajar tanpa tauliah tetapi pada masa sama menafikan hak kebebasan bersuara.

Seorang lagi 'pembangkang', Muhammad Fikri Othman memetik kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam siri wawancara Hard Talk rangkaian BBC iaitu pada hari ini tiada negara yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment