My Add

Sunday 27 November 2011

Persatuan silat digesa sokong BN

KUALA LUMPU, AHAD, 27 November, 2011:
PERSATUAN seni bela diri di negara ini diseru memberi sokongan padu kepada kerajaan sedia ada dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan kesinambungan kemakmuran negara terjamin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah menjadi tanggungjawab persatuan tersebut untuk mengekalkan kemakmuran memandangkan mereka merupakan benteng ketiga pertahanan negara.

"Persatuan-persatuan seni bela diri negara seperti Pertubuhan Seni Silat Lincah perlulah menyatakan sokongan padu kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri bagi memastikan kesinambungan kemakmuran negara terus terjamin.

"Persatuan ini juga perlu memainkan peranan menegakkan kebenaran dan memberi kesedaran kepada golongan rakyat yang terlalu taksub sehingga mata serta hati mereka telah dikaburi untuk menolak kerajaan sedia ada oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Perdana Menteri telah mengilhamkan gagasan 1Malaysia dan program transformasi demi kebaikan rakyat serta negara. Rakyat mahu pemimpin yang bagaimana lagi? Ada negeri telah ditadbir sehingga 22 tahun oleh pembangkang tetapi masalah air masih tidak dapat diselesaikan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia kali ke-30 di sini semalam.

Hadir sama Pengasas Silat Lincah, Tan Sri Omardin Mauju dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Menurut Ahmad Zahid, kesinambungan kepimpinan juga adalah penting dalam usaha meneruskan kemajuan dan kemakmuran yang telah dikecapi negara setakat ini.

"Kita harus mengekalkan kepimpinan sedia ada dan memastikan kesinambungannya seperti Pertubuhan Seni silat Lincah ini. Apabila ada kesinambungan, kita akan bersatu dan tidak sesekali berpecah belah," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyokong idea untuk mewujudkan Pertubuhan seni Silat Lincah di setiap kawasan parlimen.

Katanya, pertubuhan silat itu boleh bergabung dengan pasukan askar wataniah di setiap parlimen bagi meningkatkan jumlah keahlian dan memberi manfaat kepada anggota pasukan tersebut.

"Mungkin kita boleh mewajibkan setiap anggota wataniah menjadi ahli Pertubuhan Seni Silat Lincah selepas ini," ujarnya. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment