My Add

Tuesday 1 November 2011

Proses pengampunan dan pemutihan berjalan serentak

SELASA, 1 November, 2011: Kerajaan memutuskan proses pengampunan dan pemutihan di bawah Program 6P dijalankan serentak supaya pekerja asing tanpa izin (PATI) yang ingin kembali ke negara asal, dapat meninggalkan negara ini dengan segera, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, proses pengampunan itu melibatkan dua kategori iaitu PATI yang telah menyertai proses pendaftaran dan ingin terus keluar meninggalkan negara serta PATI yang menyerah diri secara sukarela.

"Dalam proses ini, PATI yang berkenaan boleh terus berurusan dengan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan Memo Periksa Keluar tanpa dikenakan sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini, lapor Bernama.

Hishammuddin berkata, sehingga semalam, sejumlah 25,561 PATI telah diampun dan keluar dari negara ini, di bawah proses pengampunan Program 6P (pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran).

Daripada jumlah itu, Hishammuddin berkata, antara lima negara yang mencatatkan jumlah tertinggi PATI yang diampunkan dan keluar meninggalkan negara ini, ialah melibatkan warganegara Indonesia dengan 15,901 orang diikuti India (2,501), Nepal (1,048), Myanmar (1,040) dan Vietnam (930).

"PATI yang diampun ini, telah disaring bersih daripada sebarang rekod kesalahan jenayah dan mereka dibenarkan pulang dengan segala kos berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh setiap PATI berkenaan.

"Kerajaan sehingga kini tidak terbabit dalam mengeluarkan sebarang peruntukan bagi membiayai kos berkaitan termasuklah makan minum atau penginapan sementara,” katanya. 

No comments:

Post a Comment