My Add

Friday 25 November 2011

Raja Permaisuri Agong hadiri majlis seribu kenangan BAKTI


RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah diiringi isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor ketika tiba pada Majlis Seribu Kenangan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, JUMAAT, 25 November, 2011: RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, hari ini berkenan menghadiri Majlis Seribu Kenangan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) di Seri Perdana di sini. 

Turut hadir pada majlis itu, isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua BAKTI, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dalam ucapannya, Rosmah berkata majlis itu bertujuan untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Permaisuri Agong serta merakamkan suatu memori yang pastinya akan terpahat di dalam lipatan nostalgia baginda Tuanku Permaisuri dan BAKTI.

"Adalah sesungguhnya, segala jasa bakti dan murni yang dicurahkan Tuanku Permaisuri sudah tentunya menjadi tinta emas dalam lipatan sejarah negara. Tiada kata yang dapat diungkapkan bagi menzahirkan rasa penghargaan dan menjunjung kasih kami," katanya. 

Selain itu, Rosmah berkata Tuanku Permaisuri juga menunjukkan minat mendalam terhadap pembangunan wanita dan keluarga serta aktiviti yang mampu meningkatkan taraf kehidupan golongan itu. 

"Dorongan dan perangsang yang dihulurkan oleh Tuanku Permaisuri kepada wanita, berjaya menguatkan azam mereka untuk membela kaum sendiri," katanya. 

Rosmah berkata, kehidupan di istana langsung tidak membataskan pergerakan Tuanku Permasuri untuk terus bertemu dengan rakyat jelata menerusi aktiviti amal. 
"Tuanku Permaisuri banyak kali mencemar duli berangkat menghadiri upacara bersama rakyat jelata," katanya. 

BAKTI juga, katanya, menzahirkan rasa penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong kerana berjaya melaksanakan tugas dengan sempurna dan berkesan sekali. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment