My Add

Friday 25 November 2011

Rakyat Kedah: Jangan ulangi kesilapan lalu






MUHYIDDIN berucap selepas bersarapan pagi 1Malaysia bersama masyarakat pada program turun padang Timbalan Perdana Menteri ke Kedah di pekan Sungai Lalang, Bedong, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI, JUMAAT, 25 November, 2011:
RAKYAT Kedah diminta agar tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum lalu dengan memilih Pas untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri jika mahu menikmati lebih banyak pembangunan dan kemajuan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Kedah memerlukan sebuah kerajaan negeri yang mampu membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan bagi mendapat kehidupan yang lebih selesa.

Menurut beliau, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berkeupayaan membantu mereka mencapai perkara tersebut dan bukan bercakap kosong semata-mata.

“Apa yang mustahak di Kedah ini ialah kita mahu pembangunan dan kemajuan, bukan setakat politik sahaja. Pas dia tahu dia banyak cakap, tapi tidak ada apa-apa hasil.

“Sebab itu dalam pilihan raya umum lalu agak ada silap sikit dengan memilih Pas. Jadi kali ini apabila pilihan raya umum sampai, jangan buat silap kali kedua. Sokong BN, kita mampu buat lebih daripada hari ini,” katanya dalam ucapan ringkas semasa bersarapan pagi bersama rakyat pelbagai kaum di Pekan Sungai Lalang di sini, semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berharap rakyat Kedah dapat membuat pertimbangan sebaik-baiknya untuk memilih parti yang akan menerajui pentadbiran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Beliau berkata, hasrat kerajaan BN adalah untuk membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih senang dan orang ramai perlu tahu parti itu yang sahaja berupaya merealisasikan.

“Saya dimaklumkan rakyat Kedah semakin hari semakin kuat menyokong BN. Penduduk berbilang kaum menyampaikan pelbagai permohonan yang akan diberi pertimbangan sebaiknya. Rakyat yakin BN boleh bantu, kalau tidak tuan puan tidak datang ke sini memohon bantuan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin memulakan lawatan kerja sehari ke negeri ini dengan menaiki bas ekspres dari Butterworth, Pulau Pinang bersama kira-kira 25 ahli jawatan kuasa Badan Perhubungan UMNO Kedah dan sampa di pekan Sungai Lalang kira-kira 8.50 pagi.

Bersama rombongan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashad Md. Hanipah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan ketua-ketua UMNO bahagian. Ketibaan mereka disambut oleh pemimpin dan anggota parti komponen BN daripada MCA, MIC, PPP dan Gerakan serta ramai pebduduk tempatan.

Sebaik tiba, Timbalan Perdana Menteri terus melakukan tinjauan mesra dengan memasuki kedai-kedai, pasar basah dan melawat Klinik Desa Sungai Lalang yang terdapat di pekan itu.

Muhyiddin kelihatan bersalaman dan mengambil kesempatan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung yang tidak putus-putus menghulurkan salam serta bertanya khabar.

Beliau meluangkan masa selama sejam di pekan tersebut sebelum mengakhiri program di situ dengan bersarapan pagi antara menunya pulut tanak ikan kering dan ubi kayu rebus sambal ikan bilis bersama orang ramai di pekarangan klinik berkenaan - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment