My Add

Friday 25 November 2011

Tentera perlu hayati profesionalisme kerjaya: Raja Nazrin

Raja Dr. Nazrin Shah 
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 25 November, 2011: RAJA Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu setiap anggota tentera menghayati semangat dan profesionalisme kerjaya itu bagi menegakkan kebenaran dan menghapuskan kezaliman di dalam masyarakat.

Baginda bertitah, tugas besar yang diamanahkan kepada setiap anggota tentera harus dipikul dan dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Setiap anggota bukan sahaja harus menghayati, malah mengekalkan tahap profesionalisme kerja yang merangkumi sifat dan nilai-nilai murni tanpa batasan.

“Tentera dan orang awam mempunyai skop dan bidang kuasa yang amat berbeza,” titah baginda dalam ucapan bertajuk Hubungan Tentera Dengan Awam di sini semal.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) dan Syarahan Umum Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Pada majlis itu, baginda turut ditabalkan sebagai Felo Diraja Midas dan berkenan melancarkan lapan buku yang ditulis oleh tenaga akademik UPNM.

Hadir sama, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Nor.

Dalam titah itu, baginda turut menekankan hubungan setiap anggota tentera di dalam lingkungan masyarakat yang seharusnya berlandaskan prinsip keadilan dengan mempertahankan kebenaran.

“Apakah tentera melindungi kepentingan awam secara profesional atau telah membenarkan diri mereka bersekutu dengan melakukan kezaliman atau menjadi tentera yang merelakan diri melihat kekejaman dan membantu kezaliman secara berterusan,” titah baginda.

Dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada kerajaan, baginda bertitah, tanggungjawab itu tidak seharusnya dilakukan demi kepentingan kumpulan tertentu sebaliknya untuk kepentingan seluruh rakyat dan negara.

Titah baginda, kepimpinan tentera tidak seharusnya berwatak seperti penglipurlara kepada mana-mana pemimpin kerana ia tidak lebih sekadar ketaatan pada satu institusi yang menjadi ketua negara.

Dalam mengekalkan tahap profesionalisme kepada masyarakat, tentera juga dinasihatkan menganalisis setiap maklumat yang diterima dan menyampaikannya semula dengan penuh amanah.

“Tentera tidak seharusnya memilih cerita-cerita yang indah dan menutup kisah-kisah duka. Analisis yang tepat hanya boleh dicapai melalui kebenaran yang tidak ditutup dan kebenaran pula harus didedah walaupun ia cukup pahit,” titah baginda.

Baginda bertitah, hanya melalui penghayatan tugas seseorang anggota tentera dapat membangunkan diri dan menjadi pemimpin yang lebih baik.

“Jeneral yang bertanggungjawab memiliki kearifan dalam membuat keputusan selepas menimbang segala perkara dengan baik. Dengan kekuatan itu mereka tidak sesekali membiarkan diri dan anggotanya dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” titah baginda.

Pertahankan institusi diraja - Zahid Hamidi

Berucap  di majlis yang sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi benteng terakhir yang akan mempertahankan kedaulatan institusi raja-raja Melayu di negara ini daripada terus dicabar dan digugat

Menururnya, angkatan tentera yang ditubuhkan melalui kuasa raja-raja berikrar untuk terus melindungi institusi itu daripada sebarang ancaman yang menggugat kedaulatannya.

"Kita akan bersama-sama dengan institusi raja jika ada individu, organisasi apatah lagi parti-parti politik yang cuba mencabar kuasanya di negara ini.

"Jika ada pihak yang cuba mengguris hati raja-raja Melayu, angkatan tentera akan bangun mempertahankannya," katanya.  

 Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab ATM bukan sahaja untuk memastikan institusi raja dipertahankan bahkan untuk terus menyedarkan sesetengah pihak yang mahu menggugat institusi berkenaan.

"Mutakhir ini ada sahaja individu, organisasi dan parti politik yang mahu mencemar dan mempertikai kedaulatan raja-raja Melayu. Malah, ada pihak yang sudah berani mencabar kuasa raja-raja Melayu termasuk di dalam pembentukan kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam situasi yang masih terkawal sekarang, pihak tentera tidak akan mengambil tindakan secara membuta-tuli demi menghormati undang-undang awam.

Katanya, ATM sebagai institusi pertahanan yang profesional tidak akan menyalahgunakan kuasa dan mandat yang diberi untuk melakukan campur tangan atau merombak perundangan di mana-mana negeri.

"Tentera kita profesional, jauh sekali mahu lakukan sebagaimana yang pernah berlaku di beberapa buah negara yang institusi raja runtuh kerana rampasan kuasa," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment