My Add

Friday 25 November 2011

Sokong haram wanita Islam sertai ratu cantik

KUCHING, JUMAAT, 25 November, 2011: 
UMAT Islam di negeri ini menyokong pengharaman wanita Islam daripada menyertai pertandingan ratu cantik diwartakan di peringkat Majlis Fatwa Negeri.

Tinjauan Utusan Malaysia bagaimanapun mendapati ada yang berharap ia tidak dilaksanakan secara drastik kerana pertandingan ratu cantik merupakan budaya turun temurun kaum bumiputera di negeri ini.

Imam Masjid Kampung Kudei Lama, Chek Atem, 65, berkata, umat Islam sememangnya perlu menghindari sebarang amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya, memperagakan tubuh badan untuk tontonan umum adalah haram dan yang haram tetap haram walau apa pun alasannya.

"Larangan tersebut adalah untuk dijadikan panduan dan peringatan kepada umat Islam di samping memastikan semua pihak menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ir. Daud Abdul Rahman berkata, negeri ini akan mengadakan perbincangan dan kajian sebelum mewartakan fatwa berkaitan pengharaman wanita Islam daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

Katanya, pada masa ini kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan atau mewartakan fatwa itu meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskannya pada 1997.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Kudei Lama, Amin Anis, 52, menyifatkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan itu merupakan satu penghinaan kepada umat Islam di negeri ini.

"Perkara ini melibatkan maruah orang Islam, jadi saya setuju jika peraturan ini dikuatkuasakan," katanya.

Bagi pesara kerajaan, Reduan Salleh, 54, pihak berkuasa perlu membuat satu garisan panduan yang jelas untuk diikuti penganjur pertandingan seumpama itu.

"Larangan menyertai pertandingan itu memang bagus, tetapi saya khuatir ia mengakibatkan masyarakat bumiputera yang baru hendak kenal Islam menjauhi agama ini kerana ia adalah budaya yang diwarisi kaum mereka sejak zaman dahulu.

"Jadi, daripada melarang, lebih baik kita melaksanakan peraturan meminta penganjur merujuk kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sebelum menganjurkan sesuatu pertandingan," katanya.

No comments:

Post a Comment