My Add

Friday 4 November 2011

UUM buka peluang kepada banduan lanjut pelajaran

JUMAAT, 04 November, 2011: Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan peluang kepada penghuni penjara di negara ini untuk melanjutkan pelajaran bagi peringkat ijazah dan pasca siswazah.

Menurut laporan Bernama, Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, universiti itu akan menyediakan tempat jika ada permohonan daripada banduan dan mendapat persetujuan Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Penjara.

“UUM kini menjadi pilihan badan korporat, artis, agensi kerajaan, pengamal media dan ahli politik untuk melanjutkan pengajian mereka.

"Sekiranya ada permohonan daripada pihak Jabatan Penjara untuk membenarkan banduan melanjutkan pengajian, kami bersedia untuk bekerjasama ke arah itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar yang diminta mengulas mengenai perkara tersebut, berkata pihaknya akan mengkaji cadangan berkenaan selepas mendapat persetujuan Kementerian Dalam Negeri.

Zulkifli berkata, pihaknya melihat peluang seperti itu dapat memberi sinar baru kepada banduan, selain menjadikan penjara tempat untuk mereka membetulkan kesilapan akibat terbabit jenayah.

"Kami melihat penghuni penjara ini ada antara mereka yang disisihkan dan diabaikan oleh keluarga dan masyarakat dan berharap dengan usaha sebegini mereka akan mula diberi perhatian,” katanya.

No comments:

Post a Comment