My Add

Wednesday, 2 November 2011

Wajib belajar Bahasa Melayu

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

RABU, 2 November, 2011: Kerajaan sedang mengkaji untuk mewajibkan pembantu rumah warga asing yang ingin bekerja di negara ini terlebih dahulu menjalani kursus bahasa Melayu dalam tempoh masa enam bulan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, langkah itu bagi mengelakkan wujud masalah komunikasi di antara pihak majikan dengan pembantu rumah dari negara sumber yang tidak boleh berbahasa Melayu, lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, pendekatan melalui mekanisme baru itu akan dilaksanakan secepat mungkin kerana ia melibatkan kepentingan semua pihak yang terlibat.

"Saya sudah meminta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) memastikan pembantu rumah daripada negara sumber perlu diberikan latihan bahasa Melayu terlebih dahulu.

"Oleh itu, agen-agen negara sumber perlu menyediakan kursus seperti sistem latihan yang ada di Malaysia kepada pembantu rumah untuk memahami bahasa Melayu," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan isu pembantu rumah warga asing yang dianiaya oleh majikan tempatan pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Majlis Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, semalam.

Subramaniam berkata, kefahaman pembantu rumah asing dalam Bahasa Melayu penting bagi membolehkan mereka memahami kehendak majikan dan perkara asas ketika bekerja.

"Jika tidak, akan wujud masalah baru disebabkan kegagalan untuk berkomunikasi dengan majikan," katanya.

Mengenai isu penderaan pembantu rumah warga Kemboja, beliau berkata, pihak kedutaan negara itu telah menjelaskan perkara tersebut bukanlah begitu besar seperti dilaporkan media.

Menurut beliau, sebaliknya Kemboja mahukan perhubungan pembekalan tenaga kerja dengan negara ini diteruskan seperti biasa.

"Perbincangan di antara kedua-dua belah negara sedang dilakukan dan kalau boleh mereka mahu mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) seperti yang kita persetujui dengan Indonesia baru-baru ini.

"Ini bagi membolehkan ada syarat dan langkah yang boleh dipersetujui untuk menjaga kebajikan pembantu rumah dari negara itu," katanya.

No comments:

Post a Comment