KUALA LUMPUR, SABTU, 26 November, 2011:
DATUK Seri Najib Tun Razak berkata, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, yang bakal meningkatkan taraf pendidikan di kalangan bumiputera, menyasarkan dana berjumlah RM500 juta dalam jangka masa lima tahun.
Perdana Menteri, semasa mengumumkan penubuhan yayasan itu, berkata, sumber dana itu termasuklah peruntukan endowmen RM30 juta dari kerajaan, sumbangan korporat dan individu.
"Setakat hari ini, yayasan telah mendapat ikrar RM158 juta dari 21 syarikat dan institusi serta peruntukan endowmen,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera di sini hari ini.
Yayasan itu, yang diletakkan di bawah fokus strategik kedua dalam Hala Tuju itu, akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan, katanya, yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata, yayasan itu yang menyasarkan pembiayaan 12,000 pelajar dalam tempoh lima tahun ini, akan menumpukan kepada pembiayaan kursus latihan dan profesional bagi tenaga kerja bumiputera untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman kerja.
Antara syarikat yang memberi sumbangan besar kepada dana yayasan itu termasuk CIMB Group Holdings, Felda Holdings, Maybank, Management Science University, University of Nottingham, Kumpulan Sapura, Sime Darby, Telekom Malaysia, UEM Group dan Yayasan Al-Bukhary, yang masing-masing menyumbang RM10 juta. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment