KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012 : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyelar tindakan UMNO Barisan Nasional dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis bagi membantah 'Kempen Bebas Anwar 901' dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily menjelaskan penangkapan yang berlaku di Kelantan semalam ekoran mengedarkan risalah berkaitan dengan kempen tersebut juga menunjukkan kerajaan serta pihak polis tidak pernah berlaku adil serta bertindak di luar prinsip demokrasi.
"Saya melihat tidak ada satu kesalahan langsung di dalam kempen tersebut, yang mana bagi saya ia adalah satu usaha yang dilakukan oleh rakyat bagi menuntut perbicaraan yang adil kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jika Anwar telah diberikan keadilan yang sewajarnya di mahkamah maka kempen tersebut sudah tentu tidak akan berlaku, tetapi apa yang kita lihat adalah sebaliknya dan atas tidak mendapat ketidak adilan itulah rakyat bangkit melakukan kempen," jelasnya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyatakan kesabaran rakyat dalam campur tangan kerajaan dalam soal perundangan terutamanya kes Anwar sebenarnya sudah berada pada tahap yang tidak boleh dibendung lagi.
Malah beliau memberitahu, jika sesuatu perkara yang dituntut terutama prinsip perbicaraan yang adil di mahkamah tidak diatasi dengan sewajarnya, maka tindakan itulah cara terbaik yang dilakukan oleh mereka dengan hasrat kerajaan akan membuka mata bahawa kerajaan perlu akur dengan tuntutan rakyat.
"Rakyat sudah mula muak dengan permainan yang dilakukan oleh kerajaan terutama dalam isu fitnah Anwar, cara terbaik adalah melakukan kempen agar kerajaan membuka mata dan dengar hasrat mereka.
"Kerajaan harus memberi ruang kepada rakyat untuk menyatakan hasrat mereka bukannya menghalang kebebasan bersuara mereka, malah menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kempen tersebut juga satu yang tidak sewajarnya.
"Pihak Polis boleh memantau tetapi tidak menggunakan kekerasan dan kita juga tidak mahu perkara yang sebaliknya berlaku jika polis bertindak diluar batasan kemanusiaan," jelasnya lagi.
Ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan kempen tersebut sebagai menghina keputusan mahkamah, beliau mempersoalkan di mana tindakan tersebut dilihat menghina mahkamah.
"Kuasa keputusan adalah hak mahkamah, apa yang dilakukan adalah sebagai kempen bebas Anwar bukan memcaci keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
"Kempen desakan perlu dilakukan dan ia sebagai isyarat bahawa kita mahukan pengadilan mahkamah kali ini berlaku dengan adil tanpa campur tangan pihak tertentu," katanya lagi.
Tambahnya lagi, secara simboliknya kempen itu bertujuan agar mahkamah yang akan memutuskan keputusan pada 9 Januari nanti dilakukan atas keadilan yang telus bukan dorongan mahupun desakan oleh pihak tertentu.
Sebelum itu sebanyak 77 laporan polis dibuat di seluruh negara hari ini meminta pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba melancarkan perhimpunan haram menerusi ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’.
Laporan dibuat oleh UMNO dan beberapa parti komponen Barisan Nasional dan juga Perkasa, Persatuan Jawa Kuala Langat, Persatuan Bugis, Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Jugra dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita Kuala Langat.
No comments:
Post a Comment