KOTA BHARU, AHAD, 01 Januari, 2012: Polis Kelantan akan terus memperhebatkan siasatan terhadap perbuatan menyebarkan risalah berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di Kuala Krai dan Tanah Merah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata ia susulan penahanan 11 orang berusia antara 15 hingga 55 tahun yang disyaki menyebar risalah itu di kedua-dua jajahan itu dua hari lalu.
"Semua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis sebelum didakwa di mahkamah 9 Januari ini di bawah Seksyen 8 Akta Mesin Cetak," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Supt Mohd Zulmazi Che Daud dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mula menerima jawatan itu berkuatkuasa hari ini daripada, DSP Nazly Mohd Said.
Jalaluddin berkata, polis masih meneruskan siasatan terhadap saki baki mereka yang terbabit dalam kegiatan menyebarkan risalah itu yang mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dengan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga berkata polis mengesan 493 kes jenayah perdagangan tahun lalu berbanding 453 kes dalam tahun sebelumnya iaitu peningkatan kira-kira 52 peratus dengan tangkapan 54 orang.
Kebanyakan kes itu membabitkan kes penipuan tanah dan jenayah siber yang menawarkan hadiah cabutan bertuah melalui SMS. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment