My Add

Saturday 28 January 2012

Suruhanjaya diraja tidak perlu

MUHYIDDIN Yassin diiringi Anggota Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika hadir pada taklimat khas UMNO Bahagian Putrajaya di Pejabat UMNO, Putrajaya, semalam. - BERNAMA

Oleh NORAINI ABD. RAZAK dan NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA, SABTU, 28 Januari, 2012: Kerajaan tidak bercadang menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat pelaksanaan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penjelasan Jabatan Audit Negara, dua hari lepas serta siasatan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memadai untuk menentukan status sebenar projek tersebut.

Katanya, kerajaan sendiri telah melantik firma perunding perakaunan yang menjalankan proses penilaian berhemat bagi melihat status kewangan syarikat dari segi perbelanjaan, pinjaman yang telah dikeluarkan dan baki wang.

"Saya rasa langkah-langkah itu memadai kerana tujuan kita adalah menentukan status sebenar projek NFC.

"Kita juga berharap hasil siasatan dapat disiapkan segera jadi kita dapat tahu kedudukan sebenar," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat khas UMNO Bahagian Putrajaya di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri ditanya gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat pelaksanaan projek NFC.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kenyataan pelbagai pihak bahawa projek NFC gagal dan kucar-kacir telah dinafikan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih berpendapat ada perkara perlu diambil kira dari segi penambahbaikan supaya projek itu dapat menjadi projek yang berdaya maju.

"Mungkin pembangkang mahu lihat projek itu gagal, kalau gagal sahlah pandangan mereka betul. Namun sebagai projek yang didokong oleh kerajaan dan dilaksanakan swasta kita mahu projek itu berdaya maju," katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, bukan sahaja projek NFC mengalami masalah, ada macam-macam projek kerajaan yang lain turut menuntut penambahbaikan.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil langkah memperbaiki projek-projek yang bermasalah dan tidak timbul soal NFC gagal kerana sehingga kini ia masih beroperasi.

"Projek itu masih beroperasi, semasa kita bercakap ini pun projek itu masih berjalan. Yang penting kita nak tentukan apa masalah projek itu dan saya percaya apabila laporan siap kelak kita tahu kedudukan sebenar," katanya.

Kelmarin, Jabatan Audit Negara mengeluarkan kenyataan menjelaskan tidak pernah menyebut projek NFC gagal atau kucar-kacir sebaliknya yang menjadi fokus utama Laporan Ketua Audit Negara adalah pengauditan prestasi NFC sejak ditubuhkan pada 2006.

Muhyiddin minggu lalu mengumumkan keputusan kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi melindungi kepentingan kerajaan dalam projek NFC.

Antara tugas firma tersebut adalah menjalankan penilaian berhemat selain melakukan audit projek dari segi penggunaan dana pinjaman, pengurusan serta kewangan. Tugasan itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment