My Add

Sunday 1 April 2012

Ahli Parlimen dapat laporan penambahbaikan pilihan raya esok

1KUALA LUMPUR, AHAD, 01 April, 201: Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya akan diedarkan kepada semua ahli Parlimen (MP) esok. 

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata bagaimana pun laporan itu dijangka hanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir minggu depan.

"Laporan itu adalah menyeluruh dan menyentuh semua isu utama. Sesetengahnya dipersetujui, sesetengahnya tidak. Tetapi anda akan dapat lihat semua itu dalam laporan itu. Tunggu sehingga esok. Kita akan tahu apakah cadangan yang dibuat," katanya ketika dihubungi.

Dr Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, laporan itu mengandungi 22 cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan. 

Ia dikumpulkan sembilan anggota PSC pada pendengaran-pendengaran awam dan daripada maklum balas sejak ia memulakan kerjanya pada 2 Oktober tahun lalu. 

Lima daripada ahlinya ialah daripada Barisan Nasional (BN), tiga daripada pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS dan seorang anggota Parlimen Bebas. 

PSC juga menubuhkan lima jawatankuasa kecil untuk meneliti memorandum yang dihantar terus kepadanya. Ia menyiapkan kerjanya pada Rabu lalu selepas mengadakan 14 mesyuarat dan enam sesi inkuiri awam. 

Dr Ongkili berkata, banyak isu telah diberikan pertimbangan oleh jawatankuasa berdasarkan tiga prinsip iaitu kepentingan, kesegeraan dan kebarangkalian pelaksanaannya dibenarkan dalam kerangka undang-undang dan perlembagaan. 

Sembilan ahli panel itu dilaporkan mencapai persetujuan ke atas 16 daripada 22 isu yang dibangkitkan oleh MP kerajaan dan pembangkang, dan antara isu yang belum diputuskan ialah mengenai tempoh kempen, undi pos bagi pengamal media, undi luar negara dan pembiayaan politik. 

Sesetengah ahli dikatakan mahukan tempoh berkempen lebih panjang iaitu 21 hari tetapi sebahagian lagi mahukan hanya 10 hari. 

Mengulas undi pos bagi pengamal media, dikatakan sesetengah anggota tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana berpendapat undi pos patut dimansuhkan. 

Juga dilaporkan bahawa jawatankuasa itu bersetuju untuk membenarkan pembiayaan politik tetapi modelnya masih belum diputuskan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment