My Add

Saturday, 7 April 2012

Alasan selipar tercicir selamat remaja diculik

JERANTUT, SABTU, 07 April, 2012: Alasan selipar miliknya tercicir menyelamatkan seorang remaja berusia 13 tahun, Nurul Ain Syafikah Izamzul daripada diculik seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki kereta ketika remaja terbabit berjalan kaki ke rumah datuknya di Felda Kota Gelanggi 1, di sini, jam 4 petang kelmarin.

Nurul Ain Syafikah yang juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 itu mendakwa, dia ditarik lelaki berbaju merah yang menghampirinya dengan kereta ketika berjalan ke rumah datuknya.

Dia yang menetap di Felda Kota Gelanggi 3 dan menghadapi masalah lembam berkata, sebaik tiba berhampiran Tadika Kemas berhampiran rumahnya, kereta kelabu dipandu seorang lelaki berhenti dan berpura-pura bertanyakan sesuatu.

“Lelaki itu tanya saya mahu ke mana dan kemudian dia terus menarik saya dalam kereta sebelum memecut. Saya kata selipar tercicir dan cuba membuka pintu menyebabkan lelaki itu terpaksa memberhentikan keretanya.

“Saya gunakan kesempatan itu untuk keluar dan berlari meminta tolong. Saya diselamatkan seorang penduduk kebetulan melalui jalan itu manakala lelaki berkenaan melarikan diri.

“Orang yang menyelamatkan saya menghantar ke rumah datuk dan dia juga menceritakan kejadian itu kepada keluarga,” kata Nurul Ain Syafikah di rumahnya, semalam.

Ibu mangsa, Nariah Abdullah, 47, berkata dia terkejut mendengar berita lelaki menyelamatkan anaknya dan bergegas ke rumah mentuanya melihat keadaan Nurul Ain Syafikah. - HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment